Carian
IHH Healthcare Malaysia Hadir Dengan Kiosk Latihan Amali CPR Di Premis Hospital Terpilih
August 17, 2023 Lina Rosli

IHH Healthcare Malaysia melancarkan kempen ‘Ready For You’ bagi melengkapkan individu dengan kemahiran menyelamat nyawa yang praktikal agar mereka dapat memberikan pertolongan cemas yang cepat dan tepat dalam situasi kecemasan perubatan asas. 

Menerusi kempen itu, IHH akan menyediakan latihan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan Defibrilator Luaran Automatik (AED) secara percuma kepada 1,000 kakitangan daripada pelbagai sektor perkhidmatan termasuk klinik swasta, insurans, pendidikan, perbankan, hospitaliti dan e-hailing.

Inisiatif ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai individu atau first responder yang boleh memberikan pertolongan kecemasan ketika berdepan dengan pelanggan. 

Ini kerana untuk sesetengah masalah kesihatan, ia memerlukan bantuan yang pantas untuk mengurangkan risiko ancaman nyawa. Oleh itu, setiap individu perlu dipersiapkan dengan kemahiran bantuan kecemasan yang bersesuaian untuk diberikan kepada pelanggan yang berada di dalam situasi kecemasan.

Bersama-sama dengan kempen Ready For You juga, orang ramai boleh memuat-turun buku digital Pertolongan Cemas yang disediakan di dalam laman rasmi Hospital Gleneagles, Hospital Pantai dan juga Pusat Perubatan Prince Court. Buku digital ini dilengkapi dengan panduan penting yang bersesuaian mengenai pengurusan kecemasan perubatan asas.

Selain itu, IHH Healthcare Malaysia turut menyediakan kiosk latihan amali CPR yang pertama seumpamanya di Malaysia turut dilancarkan bagi mendidik komuniti mengenai CPR. Kios interaktif ini akan ditempatkan di premis hospital dan rakan strategik IHH yang terpilih.

Komen