Carian
Ulasan Samsung Galaxy Z Flip5 – Flex Window Yang Serba Boleh
August 18, 2023 Lina Rosli

Jika dilihat dari model pertama Z Flip sehingga ke model yang terkini daripada Samsung, terdapat banyak perubahan yang telah ditambahbaik dan dikemaskini.

Anda boleh melihat bagaimana Samsung Galaxy Z Flip 5G berevolusi dari skrin luar yang hanya sekadar memaparkan jam dan tarikh kepada skrin yang lebih besar yang membolehkan pengguna untuk melakukan lebih banyak aktiviti seperti membalas mesej dan menonton video.

Apabila bercerita sahaja tentang telefon boleh-lipat, nama Galaxy Z Flip ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan pengguna telefon. Mana tidaknya, pengalaman yang diberikan oleh peranti ini di sepanjang penggunaan boleh dikatakan cukup memuaskan dari tahun ke tahun.

Oleh itu, untuk mengetahui lebih lanjut pengalaman penggunaan Samsung Galaxy Z Flip5 secara menyeluruh, selami ulasan peranti model Z Flip kali ini di Tajria.

Apa Yang Anda Boleh Buat Pada Flex Window Samsung Galaxy Z Flip5?

Perubahan paling ketara yang boleh dilihat pada Samsung Galaxy Z Flip5 adalah panel skrin luar yang besar jika dibandingkan generasi Z Flip sebelum ini.

Penulis boleh katakan saiz skrin kali ini hampir memenuhi keseluruhan bahagian panel peranti apabila dilipat. Untuk pengetahuan anda, Samsung Galaxy Z Flip5 menampilkan saiz skrin luar sebesar 3.4-inci yang dikenali sebagai Flex Window.

Mengapa penulis katakan Flex Window ini menarik? Jawapannya, ini kerana anda boleh melakukan hampir kesemua perkara terus pada skrin luar.

Hanya aktifkan dan tetapkan sahaja beberapa widget yang anda kerap gunakan, dan kemudian, nikmati pengalaman yang luar biasa sewaktu menggunakan Samsung Galaxy Z Flip5 ini.

#1 Panel Yang Bantu Ekspresi Diri

Perkara pertama yang penulis lakukan sewaktu menggunakan Flex Window ini adalah tetapkan paparan skrin yang bersesuaian dengan gaya harian. Sebagai contoh, di hari yang cerah dan ceria, penulis menggunakan paparan skrin yang berwarna warni dan selarikan dengan warna outfit pada waktu berkenaan.

Ataupun, sekiranya penulis mempunyai tugas yang perlu diselesaikan pada waktu yang ditetapkan, paparan skrin hadapan boleh diubah kepada tetapan yang lebih formal seperti warna monokrom, jam yang lebih besar dan sebagainya.

Dan secara jujurnya, Samsung Galaxy Z Flip5 adalah peranti yang cukup trendy untuk generasi masa kini mengekspresi diri dengan cara memperibadikan peranti selari dengan gaya anda.

Bagaimana cara untuk menetapkan paparan skrin yang berbeza setiap kali anda menggunakan Samsung Galaxy Z Flip5? Berikut adalah 3 cara mudah yang boleh anda lakukan:

  1. Tap skrin luar anda selama beberapa saat. Skrin anda akan mengeluarkan pilihan skrin yang boleh anda pilih.
  2. Pilih mana-mana skrin yang bersesuaian. Anda juga boleh menambah variasi skrin lain dengan memilih gambar dan rekaan baharu.
  3. Selesai memilih, anda boleh terus gayakan paparan skrin baharu yang menepati citarasa anda.

Selain penggunaan gambar, Samsung Galaxy Z Flip5 juga membenarkan anda untuk memilih GIF sebagai paparan pada skrin luar. Menarik bukan?

#2 Tonton Video Dan Main Lagu

Sekiranya anda gemar menonton video dan menstrim Netflix pada peranti mudah-alih, Samsung Galaxy Z Flip5 menampilkan satu kelebihan unik yang tidak ada pada peranti lain. Ini kerana, anda boleh menggunakan kedua-dua bahagian skrin untuk memainkan video tanpa batasan.

Namun, bila ditanya adakah menonton video di Flex Window Samsung Galaxy Z Flip5 memberi kepuasan yang maksima kepada penulis? Jawapannya, sudah tentu tidak. Mana tidaknya, jika ditonton pada skrin yang lebih besar, setiap perincian di dalam video boleh dilihat dengan lebih mudah.

Lebih-lebih lagi sekiranya anda menonton K-drama di Netflix, sari kata yang dipaparkan adalah cukup kecil sehingga menjadikan pengalaman tontonan menjadi tidak seronok.

Walau bagaimanapun, jika anda merasakan menonton video di Flex Window tidak memuaskan, anda boleh memilih untuk menyambung main di skrin dalam tanpa perlu membuka semula aplikasi Netflix atau Youtube.

#3 Balas Mesej Dan Urus Notifikasi

Selain itu, pengguna juga boleh melakukan balasan mesej secara terus menggunakan Flex Window. Hanya pilih mana-mana hantaran bualan yang ingin dibalas, kemudian tekan pada notifikasi berkenaan dan papan kekunci akan mula terpapar pada skrin luar Samsung Galaxy Z Flip5.

Jika anda ingin mengetahui sama ada penulis selesa menggunakan papan kekunci di skrin luar ini ketika membalas mesej, jawapannya adalah ya. Penulis boleh katakan saiz papan kekunci yang diletakkan di luar adalah cukup memadai untuk tangan kecil penulis menekan setiap satu huruf.

Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai hari yang lebih besar, mungkin pengalaman membalas mesej di Flex Window bukanlah sesuatu yang anda gemari.

#4 Navigasi Peta Gaya Moden

Selain itu, satu lagi pengalaman yang menarik sewaktu penulis menggunakan Samsung Galaxy Z Flip5 adalah menavigasi ke lokasi yang dituju menggunakan aplikasi Google Maps di Flex Window.

Di sepanjang penggunaan, kalau dibandingkan antara menavigasi peta di Flex Window Samsung Galaxy Z Flip5 dan jam tangan pintar anda, penulis boleh katakan pengalaman di Flex Window adalah lebih baik. Paparan visual peta tidak mempunyai banyak perbezaan dengan di skrin biasa.

Akan tetapi, disebabkan bingkai dan bezel luar peranti tidak begitu nipis, ia sedikit sebanyak mengganggu pandangan penulis sekiranya skrin berada jauh dari mata. Namun, sama seperti ciri tonton dan strim video di Netflix, anda boleh menyambung menavigasi peta yang lebih besar dan menyeluruh di skrin dalam.

#5 Rakam Gambar Dan Video Secara Fleksibel

Menyentuh mengenai kamera, Samsung Galaxy Z Flip5 kini menampilkan susunan kamera yang berbeza dengan Samsung Galaxy Z Flip4. Peranti ini hadir dengan dua kamera utama 12MP yang disusun secara bersebelahan bersama-sama dengan kamera swafoto yang dilengkapi lensa 12MP. Sebelum ini, untuk kamera swafoto Samsung Galaxy Z Flip4 hanya menampilkan sensor lensa 10MP sahaja.

Untuk pengalaman rakaman gambar secara keseluruhan, tidak banyak perubahan yang dilihat. Namun, perkara utama yang paling penulis gemari pada peranti boleh-lipat ini adalah skrin luar yang besar telah dikemaskini pada peranti dan ini sekaligus boleh digunakan sebagai cermin untuk memudahkan proses OOTD menerusi lensa utama Samsung Galaxy Z Flip5.

Disebabkan kamera utama peranti ini mempunyai sensor yang lebih besar berbanding kamera swafoto di bahagian dalam, penulis lebih banyak menggunakan kamera luar untuk rakaman swafoto harian. Salah satu sebabnya adalah disebabkan oleh hasil gambar yang lebih terang dan jelas lebih-lebih lagi sewaktu rakaman di persekitaran yang banyak pencahayaan.

Berikut adalah beberapa hasil rakaman swafoto menggunakan kamera utama dan perbezaannya dengan rakaman menggunakan kamera dalam.

Secara umumnya, untuk kedua-dua gambar, ia menampilkan warna kulit yang tidak terlalu merah selain turut menghasilkan gambar dengan hasil kontras yang tinggi juga lebih HDR.

Berbeza pula untuk rakaman pada pencahayaan yang rendah, terdapat kesukaran untuk mendapatkan hasil gambar yang tidak menukar warna kulit. Hasil gambar memperlihatkan warna kulit yang tidak konsisten dan penghasilan warna juga tidak begitu kemas.

Namun, penulis sangat berpuas hati dengan rakaman bagi objek bukan manusia yang dirakam oleh peranti Samsung Galaxy Z Flip5 ini yang mana warna dan kejituan bagi setiap gambar adalah sangat berkualiti dan kemas. Dan untuk rakaman bokeh, ia boleh dikatakan gambar yang terhasil memperlihatkan perbezaan depth yang memuaskan.

Selain itu, di bawah adalah sampel gambar yang menggunakan zum digital sehingga 10x. Ia menampilkan hasil gambar yang sangat menyerlah untuk setiap warna dan ciri yang dipaparkan. Namun, berdasarkan pengalaman penggunaan Tajria, rakaman zum yang paling maksima yang sesuai untuk anda gunakan hanyalah sehingga 2 kali sahaja. 

Hal ini kerana untuk hasil rakaman 4x dan 10x adalah tidak begitu jelas selain mempunyai noise yang banyak sehingga menjadikan hasil gambar yang diambil seakan kartun.

Bukan itu sahaja, sepanjang menggunakan kamera dari Samsung Galaxy Z Flip5 ini juga, penulis tidak perlu risau untuk membawa monopod apabila berada di luar. Hal ini kerana, penulis hanya perlu melipat peranti pada sudut 90 darjah untuk menstabilkan kedudukan kamera dan seterusnya anda boleh teruskan sesi mengambil gambar.

Apa Lagi Yang Menarik Pada Samsung Galaxy Z Flip5?

Kali ini, Samsung juga menampilkan engsel Samsung Galaxy Z Flip5 yang lebih rapat. Berdasarkan penggunaan model Z Flip sebelum ini, ia boleh dikatakan mempunyai perubahan yang agak ketara. 

Untuk makluman anda, Samsung nampaknya membawakan sedikit perubahan pada bahagian engsel yang mana ia hadir dengan engsel yang lebih nipis. Ini sekaligus membuatkan prestasi buka dan tutup atau dikenali sebagai proses lipatan peranti terasa lebih kukuh dan tidak terlalu ringan seperti yang dialami oleh pengguna Samsung Galaxy Z Flip3 dan Flip4.

Walau bagaimanapun, jika ditanya adakah engsel yang digunakan kali ini mengurangkan risiko penangkapan habuk pada skrin? Jawapan penulis adalah tidak, kerana rongga sewaktu lipatan masih lagi mempunyai jarak yang cukup membuatkan skrin dalaman berhabuk sewaktu disimpan atau diletakkan di dalam beg atau di atas meja.

Selain itu, kelebihan saiz skrin 22:9 yang digunakan Samsung Galaxy Z Flip5 ini, menawarkan pengalaman menonton dan menstrim video yang lebih memuaskan. Mana tidaknya, disebabkan saiz skrin yang panjang, ia boleh memaparkan video dari hujung ke hujung dengan lebih luas tanpa mengganggu pandangan.

Malah, lekuk pada bahagian tengah skrin juga boleh dikatakan hampir tidak kelihatan pada mata kasar sewaktu menggunakan peranti untuk menonto video.

Menurut Samsung, sejak Samsung Galaxy Z Flip3, mereka telah hadir dengan lapisan Ultra Thin Glass yang berfungsi baik dalam mengurangkan kesan lipatan pada skrin. Akan tetapi jika disentuh pada jari, ia sekali sekala mewujudkan ketidakselesaan sekiranya digunakan untuk menatal pada tempoh yang lama.

Perkara yang paling digemari penulis pada peranti ini adalah penambahbaikan kapasiti bateri yang lebih besar dan lebih tahan lama. Mana tidaknya, sebelum ini penulis perlu mengecaj peranti beberapa kali sehari apabila menggunakannya secara kerap.

Tetapi kini, penulis tidak perlu risau akan hayat bateri kerana boleh digunakan sehingga lebih daripada 9 jam dengan kadar kesegaran suai didayakan dan lebih dari 12 jam dengan kadar penyegaran standard.

Bercerita mengenai sistem pengecasan pula, Samsung Galaxy Z Flip4 menyokong pengecasan 25W yang sekitar 60 minit untuk mengecas bateri sepenuhnya. Jadinya, jika anda ingin mengecas peranti pada waktu malam, anda boleh melakukannya satu jam lebih awal sebelum tidur atau sebelum melangkah ke tempat kerja.

Jadi, adakah Samsung Galaxy Z Flip4 telah memenuhi keperluan Tajria?

Jawapannya adalah ya, ia adalah sebuah peranti yang bergaya dari sudut spesifikasi dan rekaan.

Secara amnya juga, setiap ciri dan fungsi yang ditampilkan Samsung Galaxy Z Flip5 juga adalah memuaskan. Ini termasuk pengalaman merakam gambar, menatal media sosial yang memerlukan fleksibiliti sepanjang penggunaan.

Tambahan, pembaharuan yang dilakukan pada panel luar peranti adalah cukup memuaskan menerusi skrin yang kini berganda lebih besar. Melaluinya, anda boleh terus mengakses terus mesej pada notifikasi, pameran animasi dan gambar skrin yang lebih menarik selain menawarkan rakaman video dan gambar yang lebih berkualiti menggunakan kamera utama.

Bagi anda yang berminat untuk kedua-dua Samsung Galaxy Z Flip5 dan Z Fold5 boleh didapati pada harga:

  • Samsung Galaxy Z Flip5 RM4499 (8/256GB)
  • Samsung Galaxy Z Flip5 RM4999 (8/512GB)

Jangan ketinggalan untuk merebut diskaun RM200 bagi setiap pembelian Samsung Galaxy Z Flip5 dengan menggunakan kod promosi AZGALAXY sewaktu melakukan pembelian. Harus diingatkan, tawaran ini terhad sementara stok masih ada.

Komen