Jenis-Jenis Lingkaran Gelap Bawah Mata – Apakah Faktor Yang Boleh Menyebabkan Bawah Mata Menjadi Hitam?

August 22, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Faktor yang menyebabkan lingkaran gelap bawah mata mungkin berbeza bagi setiap individu. Dan ini secara tidak langsung menjadikannya sukar untuk menentukan punca sebenar mengapa anda mengalami masalah bawah mata ini.

Untuk pengetahuan anda, antara faktor utama yang boleh menyebabkan wujudnya lingkaran gelap ini adalah disebabkan oleh:

  • genetik
  • peningkatan umur
  • anemia
  • alahan
  • pendedahan kulit mata kepada sinar matahari
  • dehidrasi
  • keletihan mata

Bercakap mengenai keletihan mata juga, cahaya biru daripada peranti pintar sering dikaitkan keletihan mata. Dan bukan sekadar itu, cahaya biru ini turut dikatakan boleh membuatkan kekeringan kulit yang boleh menyebabkan kedutan di sekeliling mata.

Di samping itu, kualiti tidur yang tidak konsisten seperti terlebih tidur atau kurang tidur, boleh menyebabkan kulit anda menjadi lebih kusam dan pucat. Akibatnya, saluran darah dan tisu gelap di bawah kulit anda mungkin menjadi lebih jelas.

Ketahui 3 Jenis Lingkaran Gelap Bawah Mata

Terdapat beberapa jenis lingkaran gelap yang boleh dialami oleh individu:

  • Lingkaran gelap dan kebiruan boleh berlaku disebabkan oleh peredaran darah yang lemah
  • Lingkaran hitam keperangan disebabkan oleh hiperpigmentasi
  • Lingkaran mata berwarna coklat gelap atau hitam disebabkan oleh kulit kendur

Untuk jenis yang pertama, lingkaran hitam kebiruan bawah mata boleh berlaku sekiranya anda mengalami peredaran darah yang lemah di kawasan sekitar.

Untuk pengetahuan anda, kadar aliran darah adalah 30% lebih tinggi di bahagian bawah mata jika dibandingkan di kawasan muka yang lain. Oleh itu, apabila bawah mata anda mengalami kekurangan oksigen di dalam darah yang beredar di kawasan ini, lingkaran gelap akan menjadi lebih jelas, terutamanya kerana kulit bawah mata lebih nipis berbanding bahagian badan yang lain.

Jenis kedua, lingkaran hitam kecoklatan boleh berlaku hasil daripada keradangan. Ini mungkin disebabkan oleh kerosakan geseran semasa memakai solek atau semasa pembersihan dan penjagaan kulit.

Jadinya, elakkan daripada menggosok terlalu kuat di kawasan bawah mata kerana ia boleh menyebabkan kerosakkan kulit di kawasan sekitar. Ini kerana kulit di kawasan sekitar mata adalah lebih halus dan boleh membawa kepada hiperpigmentasi periorbital.

Jenis ketiga pula adalah lingkaran gelap yang berlaku akibat daripada garis halus dan kulit kendur. Walaupun keadaan ini sering berlaku apabila individu meningkat usia, namun perkara masih perlu diberi perhatian lebih-lebih lagi bagi individu yang sedang dalam usia 20-an dan 30-an.

Perubahan gaya hidup yang lebih positif perlu dilaksanakan. Sebagai contoh, anda boleh mengelakkan melakukan aktiviti yang boleh menjurus kepada keadaan mata yang tegang seperti penggunaan alat elektronik yang berlebihan. Anda juga boleh melabur dan mendapatkan krim mata yang mengurangkan lingkaran gelap bawah mata.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd