Kajian Dapati 1 Daripada 3 Rakyat Malaysia Mengalami Kesukaran Tidur – Ketahui 5 Mitos Tentang Insomnia

August 23, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Insomnia adalah sejenis gangguan tidur yang dicirikan sebagai ketidakupayaan individu mendapatkan tidur atau kesukaran menikmati jumlah tidur yang mencukupi. Gejala ini menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia dan bagi sesetengah orang yang mengalami insomnia kronik, ia mampu meninggalkan kesan yang ketara terhadap kehidupan seharian.

Menurut kajian, kira-kira 1 daripada 3 rakyat Malaysia mengalami gejala insomnia. Faktor ini mungkin disebabkan oleh beberapa perkara seperti gaya hidup yang tidak sihat, mempunyai kebimbangan dan banyak lagi.

Terdapat beberapa jenis insomnia yang boleh dialami oleh individu seperti:

  • kerap bangun pada waktu malam
  • bangun terlalu awal pada waktu pagi
  • berasa letih dan tidak segar selepas bangun tidur

Kebanyakan individu sering keliru antara insomnia dan masalah tidur lain yang mana mereka tidak memahami perbezaan antara gejala insomnia dan masalah tidur yang kurang baik. Perbezaan utama antara kedua-duanya adalah insomnia adalah sejenis gangguan tidur, manakala tidur yang kurang baik mungkin disebabkan masalah asas seseorang dari segi mental atau fizikal.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang insomnia, Tajria akan berkongsi kepada anda tentang mitos yang sudah lama dipercayai tentang insomnia untuk membantu anda mendapatkan tidur berkualiti dan jam mencukupi yang diperlukan.

#1 Mitos – Kepentingan Jumlah Waktu Tidur Yang Panjang

Mereka yang mengalami insomnia tertumpu pada idea untuk mendapatkan jumlah waktu tidur selama 8 jam dan ini boleh menimbulkan tekanan tambahan lalu meningkatkan ketidakupayaan tidur.

Sebenarnya, jumlah waktu tidur yang ideal berbeza bagi setiap orang. Ia memang penting untuk mendapatkan jumlah tidur yang mencukupi, namun ia juga penting untuk mendapatkan tidur yang berkualiti.

Kualiti tidur yang baik bermakna tidur yang berterusan dan tidak terganggu. Dengan meningkatkan kualiti tidur, tekanan dan kebimbangan yang merupakan penyumbang utama kepada gejala insomnia dapat dikurangkan.

Kepentingan untuk mengutamakan tabiat tidur yang sihat perlu dititikberatkan dan pastikan anda mendapatkan penyelesaian yang terbaik bagi diri anda supaya tubuh anda dapat berfungsi secara optimum hasil tidur berkualiti yang mencukupi.

#2 Mitos – Alkohol Boleh Membantu Mendapatkan Tidur

Kepercayaan bahawa alkohol boleh membantu masalah susah tidur merupakan satu tanggapan salah yang paling popular dalam kalangan mereka yang mengalami insomnia.

Walaupun alkohol boleh menyebabkan rasa mengantuk dan membantu anda tidur, namun ia sebenarnya akan mengganggu kualiti tidur anda.

Mengambil alkohol sebelum waktu tidur boleh mengurangkan kemungkinan untuk mendapatkan tidur yang nyenyak, sebaliknya anda akan kerap bangun sepanjang malam yang seterusnya boleh mengakibatkan rasa mengantuk pada keesokan hari lalu memburukkan lagi kitaran insomnia yang sudah dialami.

Oleh itu, elakkan daripada pengambilan alkohol sebelum waktu tidur kerana ia boleh mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.

#3 Mitos – Insomnia Tidak Boleh Diubati

Jangan percaya pada mitos yang mengatakan bahawa tidak wujudnya sebarang penyelesaian bagi masalah insomnia. Sebaliknya anda boleh mengurangkan risiko insomnia dengan cara:

  • mengaturkan jadual tidur yang konsisten
  • mewujudkan persekitaran tidur yang mesra
  • rutin senaman yang selaras dan mengelakkan mengambil bahan terlarang
  • sentiasa menguruskan tekanan

Terdapat banyak perubatan berasaskan bukti termasuk ubat preskripsi yang boleh membantu mengurangkan gejala insomnia lalu meningkatkan kualiti tidur.

Kajian mendapati bahawa neuropeptide yang dikenali sebagai orexin memainkan peranan utama untuk mengawal regulasi fungsi terjaga dan memodulasi kitaran tidur-jaga. Sementara, antagonis reseptor dwi orexin berpotensi menjadi pilihan perubatan yang berfungsi untuk menyekat isyarat kimia dalam otak untuk menggalakkan tidur.

Insomnia mampu meninggalkan impak yang mendalam terhadap kualiti kehidupan seseorang. Ubat terkawal tertentu boleh dijadikan penyelesaian berkesan yang berfungsi seiringan kitaran tidur-jaga semula jadi seseorang untuk membantu mereka mendapatkan tidur yang berterusan.

Dengan nasihat doktor pakar, kegunaan perubatan dengan bantuan antagonis reseptor dwi orexin, kita mungkin mampu memerangi gejala insomnia langsung memastikan para pesakit dapat tidur dengan lena untuk bangun dengan segar dan bertenaga. 

#4 Mitos – Insomnia Adalah Proses Penuaan Yang Normal

Ramai yang percaya bahawa insomnia adalah aspek penuaan yang tidak dapat dielakkan, dan ini sebenarnya merupakan satu mitos. Walaupun memang benar yang corak tidur boleh berubah apabila usia meningkat, insomnia bukanlah sebahagian daripada proses penuaan.

Ia penting untuk menangani masalah tidur terutamanya dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua kerana ia boleh meninggalkan kesan yang serius terhadap kesihatan dan kualiti hidup.

Berdasarkan The American Journal of Medicine, corak tidur berkembang merentasi peringkat kehidupan yang berbeza, namun pentingnya untuk memberi perhatian bahawa kesukaran tidur dalam kalangan individu yang lebih tua tidak boleh dipandang remeh sebagai akibat semula jadi daripada penuaan.

Oleh itu, tanganilah masalah tidur anda secepat mungkin dan dapatkan perubatan yang sesuai untuk memastikan anda dapat tidur dengan lena untuk kesihatan dan kesejahteraan yang optimum.

#5 Mitos – Kesemua Perubatan Untuk Insomnia Adalah Sama

Ini adalah mitos. Walaupun sesetengah perubatan mungkin mempunyai persamaan tertentu, terdapat perbezaan yang ketara antara pelbagai kelas perubatan yang digunakan untuk menguruskan insomnia.

Sebagai contoh, benzodiazepines dan z-drugs, menggalakkan tidur dengan mengaktifkan laluan isyarat tidur dalam otak, manakala antagoni reseptor orexin pula menyekat isyarat kimia dalam otak yang menggalakkan fungsi terjaga.

Tindak balas setiap individu terhadap perubatan yang tertentu mungkin berbeza dan ini membawa erti yang tidak wujudnya satu penyelesaian yang sesuai untuk semua dan bukan semua perubatan sesuai untuk semua orang.

Kesimpulannya, kita perlu memahami kebenaran tentang insomnia lalu mengutamakan perubatan demi meningkatkan kualiti tidur dan kesihataan keseluruhan. Jika anda mengesyaki bahawa anda mungkin mengalami insomnia, dapatkanlah bantuan daripada ahli profesional penjagaan kesihatan untuk diagnosis yang tepat dan pelan perubatan yang tersuai.

Jangan lupa terdapat perubatan berasaskan bukti yang tersedia untuk menguruskan gejala anda. Bukan itu sahaja, jangan benarkan mitos mengenai insomnia menghalang anda daripada mengambil tindakan untuk menangani masalah anda demi mendapatkan tidur berkualiti. Selesaikan masalah tidur anda hari ini dan nikmatilah manfaat yang pelbagai hasil tidur semalaman yang lena.

Prof Ng Chong Guan ialah seorang doktor pakar dalam perubatan Psikiatri (pakar psikiatri). Beliau telah menjalankan pelbagai kajian berkaitan psikologi manusia. Artikel ini bukan pengganti nasihat profesional tetapi bertujuan untuk memaklumkan orang ramai tentang kepentingan diagnosis dan rawatan awal, serta meningkatkan kesedaran mengenai insomnia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd