Program Kesihatan Hibrid Anjuran Institut Sukan Negara Dan DOC2US Bantu Sokong Kesihatan Mental Para Atlet Negara
Lina Rosli
Baru-baru ini, Institut Sukan Negara (ISN) bersama dengan DOC2US telah hadir dengan satu program hibrid baharu yang menawarkan akses kepada sokongan kesihatan mental dan fizikal tambahan kepada para atlet negara.
Menurut DOC2US, disebabkan oleh amalan dan gaya hidup atlet yang padat dengan latihan, mereka amat rentan kepada tekanan mental dan pelbagai masalah kesihatan mental, termasuk kemurungan, kegelisahan, ataupun kes-kes yang lebih serius. Ini semua selain dari masalah kesihatan fizikal yang menjadi lumrah dalam industri sukan. Usaha kerjasama ini adalah langkah ke hadapan dalam menangani cabaran-cabaran tersebut.

Program ini telah beroperasi sejak Sukan SEA pada Mei 2023 yang mana DOC2US telah menyediakan penjagaan kesihatan hibrid, sama ada secara fizikal atau maya, menerusi aplikasi teknologi kesihatan digital.
Perkhidmatan yang disediakan kepada para atlet negara melalui program ini termasuk perkhidmatan nasihat kesihatan maya percuma, telekonsultasi dan e-preskripsi, serta sokongan kesihatan di rumah oleh profesional perubatan yang diluluskan oleh lembaga.
Platform kesihatan mental DOC2US yang dikuasakan oleh TeleHope Health, juga membolehkan para atlet mengakses perkhidmatan kesihatan mental seperti penapisan kesihatan mental, nasihat kesihatan mental percuma, dan telekonsultasi dengan pakar psikiatri dan psikologi yang berlesen dari TeleHope Health.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara ISN dan DOC2US untuk berkerjasama dalam program kesihatan hibrid untuk para atlet negara disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil pada 22 Ogos 2023.