Carian
Finland Diiktiraf Sebagai Negara Paling Bahagia Di Dunia – Malaysia Di Tangga Ke-55
August 30, 2023 Lina Rosli

Berdasarkan laporan Kebahagiaan Dunia 2023 yang dikongsikan oleh Guinness World Records, Finland secara rasminya diiktiraf sebagai negara paling bahagia di dunia.

Negara Nordik itu mendahului senarai 137 negara yang dipaparkan dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2023, mengalahkan beberapa negara lain termasuk Denmark, Iceland, Belanda dan Sweden.

Indeks kebahagiaan ini merangkumi kadar kepuasan hati rakyat mereka yang melibatkan faktor seperti kualiti hidup, sokongan sosial dan kebebasan peribadi. Rata-rata rakyat Finland mengatakan negara mereka mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang cekap, purata tahap ketidaksamaan pendapatan yang lebih rendah daripada negara dunia pertama selain turut dilengkapi sistem pengangkutan awam yang selamat dan ditawarkan pada harga berpatutan.

Sumber data utamanya ialah Gallup World Poll, yang meminta responden menilai kehidupan mereka dengan menjawab satu siri soalan, menggunakan skala dari sifar hingga 10. Kira-kira 1,000 respons telah dikumpulkan setiap tahun untuk setiap negara.

Menggunakan data ini, Laporan Kebahagiaan Dunia memperuntukkan setiap negara penarafan antara sifar dan 10, dengan sifar adalah yang paling teruk dan 10 adalah yang terbaik. Skor akhir Finland ialah 7,804, meletakkan tahap kepuasan penduduknya di hadapan Denmark (7,586) dan Iceland (7,530).

#10 Negara Dengan Markah Indeks Kebahagiaan Tertinggi

  1. Finland (7,804)
  2. Denmark (7,586)
  3. Iceland (7,530)
  4. Israel (7,473)
  5. Belanda (7,403)
  6. Sweden (7,395)
  7. Norway (7,315)
  8. Switzerland (7,240)
  9. Luxembourg (7,228)
  10. New Zealand (7,123)

Sementara itu, Afghanistan (1,859) dan Lubnan (2,392) pula ada antara dua negara dengan skor indeks kebahagiaan terendah dalam tinjauan itu, dengan purata penilaian kehidupan responden lebih lima mata lebih rendah daripada negara di kedudukan 10 teratas.

Malaysia pula berada di tangga ke-55 dengan indeks kebahagiaan 6,021 secara keseluruhan. Di tangga bawah Malaysia adalah negara Portugal (5,968), Korea Selatan (5,951), Greece (5,931), Mauritius (5,902) dan Thailand di tangga ke-60 dengan markah 5,843.

Sumber: World Happiness Report 2023

Komen