Carian
Gajet, Waktu Di Hadapan Skrin Boleh Melambatkan Proses Perkembangan Mental Dan Fizikal Kanak-Kanak
September 4, 2023 Lina Rosli

Baru-baru ini, JAMA Pediatrics telah menerbitkan satu jurnal yang menunjukkan kesan pendedahan kepada gajet dan juga impak waktu di hadapan skrin yang terlalu lama ke atas kanak-kanak.

Sebelum kita berbincang lanjut tentang impak gajet ini, pada masa kini, kebanyakan ibu bapa akan menyerahkan telefon atau tablet kepada bayi sebagai penyelesaian untuk melekakan anak-anak mereka ketika waktu sibuk.

Dan berdasarkan kajian yang dikongsikan di dalam jurnal yang diterbitkan, pakar mengatakan bahawa ia boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak. Kajian ini dilaksanakan ke atas 7,097 kanak-kanak yang berumur 2 hingga 4 tahun.

Di dalam kajian ini, ia menyatakan antara risiko yang boleh dialami kanak-kanak termasuklah:

  • kelewatan perkembangan dalam komunikasi
  • mempunyai kesukaran untuk menyelesaikan masalah
  • kemahiran peribadi terbantut
  • mempunyai masalah untuk bersosial

Untuk pengetahuan anda, kanak-kanak yang mempunyai masa skrin sehingga empat jam sehari adalah sehingga 3x lebih berkemungkinan mengalami kelewatan perkembangan dalam komunikasi dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Selain itu, kanak-kanak yang telah menghabiskan empat jam atau lebih dengan skrin juga 4.78x lebih berkemungkinan mempunyai kemahiran komunikasi yang kurang berkembang, 2x lebih berkemungkinan mempunyai kemahiran peribadi dan sosial yang kurang berkembang pada usia 2 tahun.

Menjelang umur 4 tahun , risiko boleh menjadi kekal untuk kategori komunikasi dan penyelesaian masalah.

Bagaimana masa skrin boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan peribadi kanak-kanak?

Secara umumnya, kanak-kanak akan belajar cara bercakap sekiranya terdapat komunikasi dua hala antara dua individu sebagaimana mereka melihat ibu bapa bercakap dan menggalakkan mereka berkomunikasi di dalam perbincangan harian.

Dan selalunya, jika mereka hanya menonton skrin, mereka tidak mempunyai peluang untuk berlatih bercakap. Bukan itu sahaja, mereka mungkin mendengar banyak perkataan, tetapi mereka tidak berlatih menyebut banyak perkataan di dalam komunikasi biasa.

Tidak dinafikan, penggunaan teknologi sebenarnya memberikan banyak impak positif di dalam kemahiran umum termasuk kemahiran bersosial. Akan tetapi, pendedahan kepada variasi jenis kandungan tanpa kawalan berkemungkinan besar boleh mencetuskan kesan lain yang mungkin negatif kepada proses perkembangan kanak-kanak.

Selain itu, dengan paparan skrin pasif yang tidak mempunyai komponen interaktif atau fizikal, kanak-kanak lebih cenderung untuk tidak aktif dan kemudian tidak dapat mengamalkan kemahiran motor. Menurut pakar, kanak-kanak yang dibiarkan bermain tanpa peranti atau gajet cenderung dalam menggunakan kreativiti mereka untuk menghilangkan rasa bosan.

Sebagai contoh, kanak-kanak akan menggunakan segala peralatan, aksesori atau mainan yang berada di sekeliling untuk mencipta satu permainan baharu. Jika kita imbas kembali, zaman sewaktu kita kecil, tanpa gajet, kusyen kerusi di rumah boleh disusun menjadi pondok, dan sebenarnya banyak lagi aktiviti menarik yang boleh dilakukan tanpa menggunakan sebarang kos.

Selain daripada pendedahan kepada skrin untuk tempoh yang lama, terdapat faktor lain yang boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak juga seperti genetik, pengalaman buruk seperti pengabaian atau penderaan, dan faktor sosioekonomi.

Komen