Tahukah Anda Bahawa Terdapat Kawasan Pergunungan Yang Berwarna-Warni Di China?

September 4, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Secara umumnya, gunung-ganang atau bukit-bukau yang biasa kita lihat akan menampilkan variasi warna hijau atau warna-warna seperti coklat kekuningan dan juga warna bumi seperti warna sedikit merah dan jingga.

Namun, pernahkah anda melihat warna gunung yang variasi seperti pelangi?

Untuk pengetahuan anda, di China iaitu di wilayah Danxia yang berada di bahagian utara, terdapat satu kawasan pergunungan yang memperlihatkan bentuk muka bumi yang berwarna-warni. Kawasan ini merupakan pergunungan pelangi China, yang secara rasminya dikenali sebagai Taman Geologi Zhangye Danxia, ​​terletak betul-betul di luar bandar Zhangye.

Berapa besar kawasan pergunungan ini? Jawapannya, Taman Geologi Zhangye Danxia ini mempunyai keluasan sebesar 510 kilometer persegi. Kawasan ini menampilkan batu-batuan pelbagai warna, puncak gunung yang banyak selain turut mempunyai kawasan lereng bukit yang dalam.

Mengapa Gunung Di Zhangye Danxia Ini Boleh Berwarna-Warni?

Berdasarkan perkongsian Geology Science, proses terbentuknya perbezaan warna bagi setiap kawasan di pergunungan ini adalah disebabkan mendapan mineral yang telah terdedah melalui hakisan dari semasa ke semasa.

Bukan itu sahaja, gunung di Zhangye Danxia ini juga mempunyai lapisan batu pasir berwarna dan mineral yang berbeza.

Salah satu penyumbang kepada penghasilan warna unik pada bentuk muka bumi Zhangye Danxia ialah oksida besin (iron oxide). Proses pengoksidaan besi di dalam batu-batuan ini mengakibatkan pembentukan mineral oksida besi seperti hematit yang memberikan batuan warna merah yang terang.

Mendapan mineral lain seperti klorit dan goetit, menyumbang kepada susunan warna yang lain pada kawasan berkenaan. Contohnya, warna merah, oren, kuning, hijau dan biru.

Di tambah pula dengan interaksi bersama cahaya dan bayang-bayang, ia secara tidak langsung menghasilkan formasi unik ini dan sekaligus menambahkan keindahan nyata pada setiap sudut gunung.

Tahukah Anda Taman Geologi Zhangye Danxia Telah Mendapat Pengiktirafan Daru UNESCO?

Pada tahun 2010, Taman Geologi Zhangye Danxia ini telah tersenarai di dalam senarai Warisan Dunia UNESCO. Perkataan ‘Danxia’ ini juga sebenarnya merujuk kepada landskap batu-batuan yang berwarna merah.

Untuk anda yang ingin menerokai keindahan alam ini, kawasan pergunungan ini terbuka kepada umum. Ia mempunyai laluan pejalan kaki yang dibina khas selain menampilkan pasukan penunjuk arah yang dilatih.

Di lokasi Taman Geologi Zhangye Danxia ini juga dilengkapi dengan kawasan tarikan pelancong lain seperti Giant Buddha Temple serta Wooden Pagoda Temple. Para pengunjung juga boleh menikmati pengalaman menaiki unta di Gunung Mingsha dan tasik-tasik berdekatan.

Sumber: Zhangjiajieuggp Org, Global Geopark Network

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd