Persatuan Pembangunan Artisans Berjaya Meraih RM1 Juta Untuk Jualan Produk Seni Dan Kraftangan Di Bazar The Artisans Haven

September 5, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Persatuan Pembangunan Artisans (PPA) baru-baru ini telah meraikan kejayaan mereka dalam meraih jualan produk sebanyak RM1,036,700.99 sepanjang tempoh kempen Jom Sapot Artisans yang berlangsung sejak Mei 2023 yang lepas.

Bagi yang tidak mengetahui, kempen Jom Sapot Artisans ini sebenarnya merupakan kempen yang mengetengahkan produk jualan seperti kraftangan, arca dan banyak lagi daripada para usahawan kecil dari golongan artis wanita tempatan kepada umum.

Menerusi Bazar The Artisans Haven, setiap usahawan wanita berpeluang di dalam menjana pendapatan menggunakan kreativiti mereka di samping mengetengahkan keindahan produk seni yang dicipta secara teliti.

Selain itu, dalam satu langkah penting ke arah memupuk pemberdayaan dan kemajuan yang mampan untuk usahawan wanita, The Artisans Haven telah membina kerjasama strategik dengan Yayasan Khadijah International Waqf (L) (KIWF).

Kerjasama ini merupakan titik perubahan penting bagi dua entiti yang berkongsi komitmen teguh untuk memperkasa potensi wanita dan komuniti, yang berfungsi sebagai pemangkin perubahan sosial untuk membuka jalan ke masa depan yang lebih cerah dan inklusif menerusi pembukaan lebih banyak lagi rangkaian di variasi tempat lain.

Tambah The Artisans Haven lagi, menjelang tahun 2024, Persatuan Pembangunan Artisans ini bakal meluaskan tapak pasaran mereka di Merdeka 188. Ini selari dengan kejayaan mereka yang sebelum ini telah melakukan sesi jualan di beberapa rangkaian sekitar Lembah Klang seperti di Pavillion Kuala Lumpur, Eslite Spectrum Starhill, Berjaya Times Square dan banyak lagi.

Di dalam acara ini juga, The Artisans Haven telah mengumpulkan beberapa syarikat dengan jualan terbaik sepanjang tempoh kempen iaitu Syarikat Asli, Tudung Saji Che Ton, Ives Artisans Soul, Difference Made With Love dan banyak lagi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd