Kajian Halal Wave Dapati 77.8% Individu Guna Aplikasi Cari Jodoh Untuk Temui Pasangan Hidup, 19.1% Sertai Komuniti Cari Jodoh Di Media Sosial

September 5, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Dalam dunia digital hari ini, hampir kesemuanya boleh ditemui di hujung jari. Ini termasuk cinta yang kini boleh ditemui dengan satu swipe sahaja.

Bukan itu sahaja, tingkah laku berdating juga telah berubah sejak berakhirnya pandemik. Berdasarkan kajian Halal Wave menerusi laporan Match To Marriage oleh TBWA Asia, ramai dalam kalangan individu dari kumpulan umur 25 hingga 34 tahun ini menggunakan aplikasi cari kenalan dan jodoh.

Malah, bagi mereka yang belum berkahwin iaitu sekitar 77.8% juga turut memanfaatkan platform cari jodoh untuk mencari pasangan hidup masing-masing.

Dan yang paling menarik adalah sekitar 19.1% individu menyertai komuniti pencarian jodoh di media sosial untuk mencari kenalan. Di Malaysia, Twitter mempunyai komuniti mencari jodoh yang terbesar dan paling aktif seperti akaun TwtJodoh (@twtjuangmy) yang kini menjadi akaun Twitter utama untuk rakyat Malaysia yang ingin membuat profil perkahwinan awam.

Apakah Aplikasi Cari Jodoh Yang Berlandaskan Islam Yang Popular?

Sekiranya anda ingin menerokai kelebihan mencari jodoh menggunakan aplikasi ini, terdapat beberapa aplikasi cari jodoh berlandaskan Islam yang popular seperti Muzz, Salams dan yang terbaru di Malaysia, BaitulJannah yang kini merupakan antara aplikasi yang paling kerap digunakan dalam kalangan orang Islam pada hari ini.

Di dalam laporan Match to Marriage juga, ia mendedahkan pengalaman yang dilalui oleh orang Islam ke arah mendirikan rumah tangga. Khusus sewaktu pandemik, rata-rata responden menyatakan sekatan pergerakan telah memberi kesan yang mendalam kepada mereka. Secara tidak langsung ia telah mencetuskan keinginan mereka untuk mendirikan rumah tangga.

Untuk makluman anda, kajian ini dilakukan ke atas 158,586 responden melalui perbualan di media sosial dan 16 temu bual yang dijalankan mulai tahun 2021 hingga 2023 merentasi lima buah negara termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Jerman dan United Kingdom.

Laporan mendedahkan bahawa usaha untuk mendirikan rumah tangga dalam kalangan orang Islam turut berdepan dengan cabaran. Berikut adalah beberapa data menarik mengenai pengalaman dating (berjanji temu) dan juga berkahwin.

  • 62.3% responden peka tentang peraturan perkahwinan berbeza agama serta penukaran agama kepada Islam sebagai sebahagian daripada syarat perkahwinan berbeza agama.
  • 20.6% responden merasakan bimbingan yang tidak cukup boleh menjadi penghalang kedua terbesar dalam membentuk hubungan.
  • 3.9% responden merasakan bahasa antara isu berbangkit di dalam sesebuah hubungan
  • 3.0% menyatakan kebimbangan ditipu dalam dunia janji temu dan mencari jodoh dalam talian.
  • 2.6% bimbang dengan hala tuju hubungan disebabkan pandangan berbeza.

3 Persona Individu Dan Kesannya Ke Atas Tahap Keseriusan Untuk Berkahwin

Dalam peringkat persediaan untuk berkahwin, terdapat tiga persona yang berbeza yang mencerminkan arah tuju dan tindakan serta tahap keseriusan untuk berkahwin.

  • Akan Tiba Harinya, InshaAllah – individu dengan garis masa terbuka, mencari pemahaman yang lebih mendalam dan pengetahuan yang praktikal tentang perkahwinan.
  • Suatu Hari Nanti, InshaAllah – secara aktif merancang masa depan mereka, mahu mencari kemajuan, stabiliti dan rancangan membina keluarga yang boleh diharapkan.
  • Hari Ini, InshaAllah – individu yang yakin dengan hasrat mereka untuk berkahwin, mengutamakan keberkatan perkahwinan berbanding berbelanja secara mewah.

Sumber: Laporan Match To Marriage Oleh Halal Wave

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd