Carian
Nespresso X Vélosophy Memperkenalkan Basikal Yang Diperbuat Daripada Kapsul Kopi Yang Telah Dikitar Semula
September 11, 2023 Lina Rosli

Nespresso dengan kerjasama jenama basikal Swedish, Velosophy, telah menghasilkan basikal yang menggunakan bahan kitar semula – dinamakan sebagai RE:CYCLE.

Untuk pengetahuan anda, RE:CYCLE ini menampilkan bingkai basikal yang diperbuat menggunakan 95% aluminium yang dikitar semula, dan 20% kapsul kopi Nespresso.

Menurut Nespresso, basikal ini memfokuskan kepada rekaan yang minimalis di samping mengetengahkan elemen kelestarian selari dengan komitmen mereka menjadi antara jenama yang mampan.

Melihat kepada basikal ini juga, Velosophy dilihat mengekalkan ciri-ciri ikonik Nespresso seperti penggunaan loceng berbentuk kapsul, ruang untuk meletakkan cawan kopi, selain menampilkan pilihan warna yang estetik dan pastel.

Bukan itu sahaja, untuk setiap basikal RE:CYCLE yang dihasilkan dan telah dijual, Velosophy akan mendermakan sebuah lagi basikal kepada seorang pelajar perempuan di negara-negara membangun melalui World Bicycle Relief.

Untuk pengetahuan anda, Nespresso sebenarnya telah menjalankan skim kitar semula sejak lebih 30 tahun yang lalu, dan hari ini, Nespresso telah menawarkan perkhidmatan kitar semula kepada pelanggan di 70 negara.

Komen