Carian
Ice-Watch Mula Mengeluarkan Jam Tangan Pintar – Dinamakan ICE Smart One
September 14, 2023 Lina Rosli

Sebelum ini, ICE-Watch telahpun hadir dengan pelbagai pilihan jam tangan kepada umum. Ini termasuk penawaran jam tangan yang bermacam warna, jam tangan yang dikuasakan oleh suria yang mana boleh dicas semula sepanjang penggunaan, jam tangan 100% pembungkusan hijau yang diperbuat daripada gentian plastik kitar semula dan banyak lagi.

Dan kali ini, ICE-Watch kembali dengan model serba baharu menerusi pengenalan ICE Smart One. Untuk pengetahuan anda, ICE Smart One merupakan jam tangan pintar terbaru dari Ice-Watch yang dihubungkan pada peranti pintar iOS dan Android.

Menurut Ice-Watch, jam tangan pintar ini menampilkan semua fungsi yang ada pada kebanyakan jam tangan pintar biasa di pasaran termasuk:

  • Penjejakan cuaca
  • Penjejakan kecergasan, tidur, kesihatan atau sukan
  • Mengukur tekanan darah, kadar denyutan jantung dan juga tahap oksigen darah
  • Merakam dan memaparkan jumlah tempoh tidur, serta fasa tidur nyenyak dan ringan yang direkodkan pada malam sebelumnya.
  • Mod latihan pintar dengan lebih 100 aktiviti sukan seperti berjalan kaki, larian luar, berbasikal, badminton.

Sekiranya berlaku kecemasan, anda juga boleh bergantung pada jam tangan pintar ICE anda – ia akan memaparkan butiran 3 penama yang perlu dihubungi sekiranya berlaku bahaya, terjatuh atau kecederaan.

Bagi yang berminat, jam tangan pintar ICE Smart One didatangkan dalam sarung aluminium segi empat tepat 40 x 44 mm dan mempunyai skrin sentuh TFT 1.85 inci dengan resolusi 240 x 280 dan memori dalaman 64 MB. Ia juga diperakui mengikut IP68 serta menggunakan cip pemproses BK3266K.

Dari segi ketahanan bateri, ia menggunakan bateri litium-ion yang boleh dicas semula 210-mAh yang menjanjikan pengguna 3 hingga 5 hari, atau 15 hari dalam mod siap sedia.

Untuk mendapatkannya, ICE Smart One ditawarkan pada harga RM499 seutas.

Komen