Carian
Ini 7 Jenama Tempatan Yang Popular Di Persada Dunia Yang Mungkin Anda Tidak Ketahui
September 15, 2023 Lina Rosli

Malaysia Boleh!

Ini adalah satu ungkapan yang sentiasa dijadikan sebagai pembakar semangat untuk negara Malaysia bersatu dan berkembang setaraf dengan jenama antarabangsa.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat beberapa jenama tempatan yang sudah menempa nama yang besar di peringkat dunia. Bermula daripada jenama fesyen, sehingga ke jenama runcit, jenama tempatan Malaysia kini mula meniti di bibir masyarakat.

Bonia

Apabila bercerita mengenai jenama beg dan kasut Bonia, pastinya anda menyangka produk ini adalah keluaran dari jenama luar iaitu Itali. Namun, tahukah anda sebenarnya Bonia merupakan produk tempatan yang bertaraf global?

Untuk pengetahuan anda, Bonia adalah sebuah jenama mewah yang menawarkan pelbagai rangkaian beg dan kasut yang diperbuat daripada kulit berkualiti tinggi.

Diusahakan oleh Bonia Corporation Berhad, jenama ini adalah pengeluar fesyen mewah yang berpusat di Malaysia yang kini mempunyai lebih daripada 883 pusat jualan dan 103 rangkaian butik di seluruh dunia termasuk Malaysia, Singapura, Brunei, Vietnam, Taiwan, Japan, Hong Kong, China, Indonesia, Thailand, Myanmar, Saudi Arabia dan Kuwait.

Untuk pengetahuan anda, pengasas Bonia, Chiang Sang Sem, dibesarkan di sebuah kampung di Melaka. Ibu bapanya penoreh getah. Memulakan kerjayanya dalam sektor tekstil di Pulau Pinang, beliau sebelum ini bekerja di syarikat pengeluar beg tangan milik rakan bapa saudaranya.

Selepas itu, beliau bermula dengan membuka kilang sendiri di Singapura pada tahun 1974 dan sejak itu telah menyelesaikan banyak perkara. Dia bermula di Malaysia dan Singapura, dan kini jenamanya Bonia berkembang maju di butik di seluruh dunia.

Baca juga: Di Sebalik Bonia – Bagaimana Jenama Tempatan Ini Menjadi Jenama Antarabangsa?

Padini Holdings

Sebelum menubuhkan Kedai Konsep Padini, Padini Holdings bermula dengan syarikat pengeluaran Hwayo Garments pada tahun 1971. Ia menawarkan pakaian wanita dan kemudiannya akan dipasarkan dan diserahkan kepada kedai serbaneka dengan pemilik tunggal.

Selari dengan perkembangan industri tekstil pada sekitar tahun 1980-an, jenama ini turut memperluaskan misi syarikat ke dalam arena perdagangan tekstil. Dari situ secara konsisten, Padini mula memperkenalkan beberapa jenama lain di bawahnya.

Padini Holdings telah hadir dengan lebih dari 15 jenama fesyen dibawahnya yang mana untuk Brands Outlet sahaja, ia menawarkan sebanyak 10 jenama berlainan iaitu Garage Inc, Industrie Co, Studio, Filanto, Oceano, Ropé, Portofino, Gamester, Hotshots dan BO Accessories.

Kedai pelbagai jenama pertama Kumpulan Padini Holdings yang pertama dibuka adalah di City Square, Johor Bahru. Ia membawakan kedai konsep seluas 11,000 kaki persegi dan mempamerkan barang dagangan dari Padini, SEED, PDI, Vincci, dan P&Co.

Secara keseluruhan, Padini Holdings mempunyai lebih dari 141 kedai di Malaysia yang terbahagi kepada 28 kedai jenama tunggal, 48 Kedai Konsep Padini, 55 kedai Brands Outlet dan 10 kaunter konsainan. Bukan itu sahaja, jenama ini turut telah memperluaskan produk mereka di pelbagai pasaran di seluruh dunia seperti Kemboja, Indonesia, Bahrain, Brunei, Myanmar, Qatar, Thailand dan banyak lagi.

Baca juga: Di Sebalik Padini – Tahukah Anda Padini Dan Brands Outlet Di Bawah Payung Yang Sama?

Jimmy Choo

Tidak seperti dua jenama di atas, Jimmy Choo merupakan satu jenama global yang diasaskan oleh warga Malaysia. Datuk Jimmy Choo ialah seorang pereka fesyen kelahiran Pulau Pinang yang berpangkalan di United Kingdom. Beliau mengasaskan Jimmy Choo Ltd, yang terkenal dengan kasut wanita buatan tangan.

Untuk pengetahuan anda Datuk Jimmy Choo, yang bapanya seorang tukang kasut, dibesarkan di dalam keluarga yang berkait rapat dengan industri kasut. Atas desakan bapanya, Datuk Jimmy Choo berjaya mencipta sepasang kasut pertamanya seawal usia 11 tahun.

Pada tahun 1986, Datuk Jimmy Choo membina kedai pertamanya di sebuah hospital terbiar di Hackney. Selepas hanya dua tahun dalam perniagaan, label kasut Jimmy Choo telah berjaya dipaparkan di dalam sebuah majalah fesyen terkenal, Vogue.

Ogawa

Jenama kerusi urut terkenal Ogawa juga merupakan salah satu jenama barangan antarabangsa yang berasal dari Malaysia.

Walaupun nama Ogawa itu sendiri mencerminkan jenama dari Jepun, namun hakikatnya syarikat itu sekadar menggunakan perkataan dari Jepun (Ogawa bermaksud ‘aliran’ dalam bahasa Jepun yang mana konsep bermula dari sumber sungai yang mengembang keluar, menjangkau lebih jauh) tetapi pengasasnya bukanlah berasal dari Jepun. Sebaliknya, Ogawa diasaskan oleh dua rakyat Malaysia, Wong Lee Keong, dan Lim Poh Khian.

Kedua-dua Wong Lee Keong dan Lim Poh Khian memulakan perniagaan tunggal di Malaysia pada tahun 1996 tetapi sejak itu telah berkembang ke lebih 20 negara lain, dengan lebih seribu kedai runcit di seluruh dunia.

Shangri-La Hotels & Resorts

Diasaskan oleh hartawan perniagaan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong, Robert Kuok pada 1971, kumpulan Shangri-La telah berkembang menjadi sebuah syarikat hospitaliti multinasional dengan hartanah di enam benua.

Selain daripada hotel dan resort di bawah nama Shangri-La, sebenarnya jenama ini juga turut menguruskan beberapa lagi hartanah lain di bawah jenama Hotel Jen, Traders Hotel dan Rasa Sayang di negara ini.

Bukan Malaysia sebagai negara pertama, Kumpulan Shangri-La memilih Singapura sebagai lokasi pembukaan Hotel Shangri-La pertama mereka. Walau bagaimanapun, kumpulan besar yang mengendalikan syarikat ini, The Kuok Group sebenarnya telah memulakan perniagaan pada tahun 1949 sebagai Kuok Brothers di Johor Bahru, Malaysia sebagai perniagaan keluarga kecil yang berniaga beras, gula dan tepung gandum.

Apabila syarikat ini mula berkembang di rantau ini, mereka mengasaskan pula Kuok Singapore pada tahun 1953, dan pejabat Hong Kong telah ditubuhkan pada tahun 1974 sebagai Kerry Holdings. Kumpulan Kerry kini menyelia operasi syarikat di Hong Kong dan Tanah Besar China.

Lebih daripada 70 tahun, The Kuok Group telah berkembang menjadi salah satu konglomerat multinasional paling dinamik di Asia, dengan operasi yang pelbagai di semua enam benua termasuk Hartanah, Hospitaliti, Logistik, Makanan & Perniagaan Tani, Maritim, Infrastruktur Digital, Komoditi dan Dermawan.

HABIB Jewels

Di Malaysia, antara jenama barang kemas yang terkemuka selain turut menjadi pilihan para individu adalah HABIB Jewels. Ia bukan sahaja digunakan oleh para selebriti, malah ia turut menjadi pilihan oleh semua lapisan individu disebabkan oleh variasi rekaan dan juga ciri reka bentuk ukiran yang cukup menarik.

Sejarah jenama HABIB bermula pada tahun 1958 apabila pengasasnya iaitu Datuk Haji Habib Mohamed Abdul Latif mula membuka sebuah kedai peruncitan di Jalan Masjid Kapitan Keling. Kawasan itu sememangnya terkenal dengan deretan kedai barangan kemas yang menjadi tumpuan orang ramai sehingga digelar ‘Jewellers’ Corner’.

Asal usul nama HABIB ini diambil daripada nama pengasanyanya itu Datuk Haji Habib. Beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan berani untuk tampil berbeza.

Bagaimana jenama HABIB mula mendapat perhatian ramai? Pada ketika awal pengenalan HABIB, rekaan untuk barangan kemas berlian untuk masyarakat melayu adalah terhad dan permintaan begitu tinggi. Pelanggan inginkan pilihan untuk rantai labuh, kerongsang, butang baju melayu yang tiada di pasaran pada masa itu.

Lanjutan kurangnya variasi produk di pasaran, HABIB mula mengeluarkan pelbagai koleksi berlian dan batu permata dan menjadikan HABIB sebagai satu-satunya peniaga barangan berlian dan batu permata sekaligus menjadikan jenama tersebut sebagai tempat tumpuan peminat barangan berlian.

Pada tahun 1986, HABIB mula membuka bilik pameran pertamanya di Semua House.

Baca juga: Asal Usul HABIB – Bagaimana Tercetusnya Idea, Konsep Kedai Mesra Pelanggan Untuk Industri Barang Kemas?

Old Town White Coffee

Apabila sebut produk kopi putih atau white coffee, sudah tentu di fikiran anda akan teringat akan jenama OldTown White Coffee. Ia merupakan jenama kopi putih nombor satu di Malaysia yang mana telah berjaya mengeksport produknya ke 19 negara di seluruh dunia termasuk Australia, New Zealand dan Korea Selatan dan juga Amerika Syarikat.

Ia juga mempunyai rangkaian kedai sekitar 240 buah di Singapura, Indonesia, Filipina, Hong Kong dan Myanmar dan juga Shanghai. Tujuannya adalah untuk mencipta tempat untuk orang ramai berbincang untuk tempoh yang lama sambil secawan secawan kopi dan roti panggang.

Tidak hanya tertumpu kepada jualan langsung di restoran, Old Town mula mendedahkan perancangan baharu untuk tahun 2022. Ia termasuk pelan mengubahsuai rekaan dalaman restoran, menu rasmi yang baharu serta prototaip terkini mesin layan diri dan Old Town EXPRESS.

Baca juga: Populariti Old Town White Coffee – Kopitiam Ini Adalah Pencetus Trend Kafe Masa Kini?

Selain daripada 7 jenama di atas, terdapat banyak lagi jenama tempatan yang mula meningkat naik di dalam kebanyakan industri yang tersendiri. Ini tidak terkecuali jenama fesyen muslimah popular dUCk dari The dUCk Group yang kini mula diperkenalkan di beberapa negara luar seperti United Kingdom, Brunei dan juga Singapura.

Anda juga boleh melihat jenama makanan dan minuman seperti Munchy’s, Secret Recipe, Dutch Lady, ZUS Coffee dan banyak lagi.

Komen