Mula diperkenalkan pada tahun 1968, koleksi Seiko 5 Sports telah menampilkan jam tangan mekanikal yang tahan lasak yang juga digemari oleh kebanyakan penggemar jam di seluruh dunia.
Dalam memperingati ulang tahun ke-55 koleksi itu, Seiko memperkenalkan ciptaan edisi terhad yang memberi penghormatan kepada pelakon filem Hong Kong-Amerika Bruce Lee, yang memakai Seiko 5 Sports semasa hayatnya.
Jam tangan peringatan ini memberi penghormatan kepada banyak pencapaiannya sebagai artis silat, pelakon dan ikon budaya dunia. Dilahirkan di San Francisco, Bruce Lee ialah seorang pelakon filem, artis yang aktif dalam seni mempertahankan diri, pengarah dan juga superstar antarabangsa yang terkenal menerusi filem hit The Big Boss (1971).
Menurut Seiko, butiran menarik yang ingin ditampilkan pada jam ini adalah penggunaan dail jam tangan yang mempunyai ukiran gambar seekor naga yang pernah dilukis Bruce Lee semasa hayatnya. Sementara pada bezel pula menampilkan karakter Pinyin yang yang ditulis – “Using no way as way; having no limitation as limitation” atau dalam Bahasa Melayu “Tidak menggunakan cara sebagai jalan, tidak mempunyai had sebagai had.”
Melengkapkannya adalah penggunaan tali kulit hitam dengan jahitan perak yang sinonim dengan rekaan pada pakaian kung fu. Bahagian dalamnya pula menampilkan reka bentuk naga yang sama seperti yang dipaparkan pada dail jam.
Bukan itu sahaja, jam tangan Seiko 5 Sports edisi Bruce Lee ini turut dilengkapi dengan tali nilon tambahan dalam reka bentuk baju sukan kuning ikonik yang pernah dipakai beliau.
Jam tangan ini dikuasakan oleh Kaliber 4R36 dan menawarkan kalis air 10 bar. Binaan muka jam pula menggunakan kristal Hardlex, dan bekas keluli tahan karat dengan salutan keras hitam bagi meningkatkan ketahanan jam tangan.
Bagi yang berminat, iam tangan Seiko 5 Sports Edisi Bruce Lee ini boleh didapati mulai Oktober 2023 di Butik Seiko dan kedai runcit terpilih di seluruh dunia dengan unit yang terhad iaitu sebanyak 15,000 unit sahaja.