Bilakah kali terakhir anda berkunjung ke klinik atau berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan untuk diri ataupun keluarga? Adakah minggu lepas? Atau bulan lepas atau beberapa bulan yang kebelakang?
Untuk pengetahuan anda, selain berkunjung ke klinik, farmasi juga merupakan tempat terdekat dan paling mudah untuk kita dapatkan bekalan ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor, makanan tambahan dan peralatan mandian.

Selain itu juga, di Malaysia, farmasi komuniti ini sudah lama menjadi sebahagian penting dalam mana-mana kejiranan. Namun begitu, potensinya sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan utama tidak digunakan sepenuhnya.
Selaras dengan tema “Farmasi memperkukuh sistem kesihatan” bersempena Hari Ahli Farmasi Sedunia tahun ini, Profesor Madya Dr. Wong Pei Se dari Fakulti Farmasi Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), bercakap mengenai peranan ahli farmasi komuniti dalam sistem penjagaan kesihatan.
Rakyat Malaysia Dan Juga Farmasi – Bagaimana Ahli Farmasi Membantu Meringankan Tugas Klinik
Tinjauan Kebangsaan Mengenai Penggunaan Ubat (NSUM) oleh pengguna Malaysia pada 2015 menekankan bahawa hanya lima peratus daripada responden akan berunding dengan ahli farmasi mengenai masalah kesihatan.
Dalam kajian 2021, rakyat Malaysia dilaporkan pergi ke farmasi komuniti secara purata sebanyak 31 kali setahun. Ini adalah setanding dengan purata di negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Secara umumnya, bukan sekadar menawarkan ubat kepada individu, ahli farmasi komuniti sebenarnya boleh membantu menguruskan penyakit ringan, memberi nasihat dan membantu untuk mendidik orang ramai tentang pelbagai aspek penyakit dan rawatan yang ada.

Ahli farmasi juga boleh membimbing pelanggan ke laluan perubatan yang betul sekiranya anda tidak pasti sama ada anda perlu berjumpa doktor, atau doktor mana yang anda perlu jumpa. Mereka membantu orang ramai menguruskan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan masalah jantung.
Banyak farmasi kini turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan dan pemantauan tekanan darah, paras gula dan kolesterol. Walaupun ada banyak peranti yang boleh digunakan di rumah, perkhidmatan ini menjadi alternatif bagi mereka yang tidak bersedia melabur membeli peranti atau tidak selesa untuk membuat ujian itu sendiri. Ia menjimatkan masa orang ramai untuk pergi ke hospital atau klinik.
Ini sekaligus bermakna pesakit tidak perlu menangguhkan pemantauan selama berbulan-bulan sebelum ke temujanji susulan mereka.
Terdapat 3,000 Buah Farmasi Secara Keseluruhan Di Malaysia
Tahukah anda, terdapat kira-kira 3,000 buah farmasi di Malaysia? Dan di kawasan bandar, anda akan berjumpa sebuah farmasi dalam jarak setiap 3 ke 10 kilometer.
Dan apa yang menarik, bagi individu yang tiba di farmasi, mereka tidak perlu mendaftar atau membuat temujanji di farmasi. Bahkan, perundingan yang diberikan juga adalah percuma dan anda hanya perlu bertanyakan beberapa soalan sekiranya anda tidak pasti tentang tahap keseriusan keadaan kesihatan anda.

Sebagai contoh, Dr. Wong berkata ramai yang mempunyai masalah kulit seperti jerawat tidak akan pergi berjumpa doktor terlebih dahulu. Mereka lebih cenderung untuk mencuba produk di farmasi terlebih dahulu dan jika ini gagal, barulah mereka akan berjumpa doktor.
Dalam keadaan begini, ahli farmasi boleh membimbing pelanggan memilih produk penjagaan kulit yang ada, selain menasihati pelanggan seandainya keadaan mereka memerlukan mereka berjumpa doktor.
Tidak dinafikan, ahli farmasi memainkan peranan besar dalam mengembalikan penjagaan kesihatan ke tangan orang ramai, dan menyediakan akses mudah kepada maklumat yang boleh dipercayai.
Jadi, apabila anda tergoda untuk menaip di Google mencari ‘petanda dan gejala’ dan cuba mendiagnosis diri sendiri, apa kata pergi sahaja berjumpa ahli farmasi kejiranan anda yang ramah-tamah itu?