CHAGEE Kini Diktiraf Halal Oleh JAKIM – Bakal Buka 300 Cawangan Di Seluruh Malaysia Menjelang 2025
Lina Rosli
Sejak kebelakangan ini, sudah banyak francais makanan dan minuman yang mula mengambil berat tentang status halal produk mereka. Ini termasuk jenama teh popular kegemaran ramai, CHAGEE yang baru-baru ini telah mengumumkan akan pemerolehan pengiktirafan sijil halal dari JAKIM untuk barisan produk mereka.
Menerusi pengumuman ini, CHAGEE menyatakan bahawa penggemar minuman teh mereka kini tidak perlu ragu-ragu lagi dengan keperluan syariah yang dituntut oleh agama Islam.

Tambah JAKIM pula, pengiktirafan halal ini bertujuan bagi menjamin tiada potensi pencemaran silang dengan sebarang unsur tidak halal sepanjang aliran proses pembuatan. Selain itu, JAKIM turut telah mengenalpasti senarai bahan mentah dan pembekal sah Halal yang diluluskan telah digunakan oleh CHAGEE.

Dengan ini, para pelanggan tidak lagi perlu khuatir akan jaminan status halal CHAGEE kerana semua proses pengeluaran produk ini akan mendapat semakan terakhir untuk memastikan semua syarat-syarat halal dipenuhi sebelum penghantaran keluar produk ke semua cawangan di Malaysia.
Menurut CHAGEE, setakat ini, hanya 5 cawangan sahaja yang telah menerima sijil halal ini dan dijangka akan diperluaskan ke 30 cawangan lain dalam masa terdekat, iaitu sekitar tahun ini. Buat masa ini, CHAGEE telah membuka sebanyak 70 cawangan di seluruh Malaysia.