G-SHOCK Japan Memperlihatkan Jam Tangan Edisi Terhad League Of Legends
Lina Rosli
G-SHOCK Japan baru-baru ini telah melancarkan kerjasama rasminya dengan League of Legends. Menerusi kerjasama ini, G-SHOCK telah memperlihatkan dua model jam tangan edisi terhad iaitu GA-110 dan GM-B2100 yang mana rekaan bagi kedua-duanya dilengkapi dengan elemen ikonik permua berbilang pemain popular Riot Games.
Menurut G-SHOCK, pemilihan dua model ini adalah disebabkan kedua-duanya mempunyai daya tarikan yang tersendiri selain turut tahan lasak sesuai dengan keperluan yang dicari oleh para pemain permua ini.

Untuk model jam tangan GA-110, ia menampilkan estetika muka jam yang diinspirasikan watak Jinx dari segi penggunaan pilihan motif dan skema warna. Selain itu, G-SHOCK turut menggunakan rekaan senjata Jinx pada jarum detik kecil pada dail, dan pilihan warna yang terang seperti warna kuning, merah jambu dan biru terang pada beberapa bahagian jam.

Sementara itu, untuk model GM-B2100LL-1AJR pula, ia menggunakan konsep yang lebih klasik pada bezel, lug dan tali jam. Ia dipersembahkan menggunakan visual Hextech — teknologi ajaib yang penting kepada permainan dan dunianya. Elemen yang disebutkan juga menampilkan motif berukir seperti logo League of Legends dan lambang lambang Piltover.