Secara umumnya, menopaus adalah satu fasa dalam kehidupan yang boleh dialami individu tanpa kira waktu atau peringkat umur.
Perkara ini sering dikaitkan dengan wanita yang telah lanjut usia, namun hakikatnya fasa menopaus ini sebenarnya boleh berlaku dalam kalangan wanita muda. Dan apabila fasa ini berlaku juga, individu selalunya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan atau apa yang perlu dilakukan bagi menguruskan diri dengan lebih baik.
Apabila bercakap mengenai perkara ini, adalah penting untuk individu mengetahui lebih awal akan tentang menopaus supaya mereka lebih bersedia dan kurang bimbang mengenainya sekiranya ia berlaku pada diri.
Baru-baru ini satu kajian mendapati bahawa masalah kesihatan seperti kekejangan, sakit kepala dan kemurungan mungkin bukan satu-satunya kesan PMS – tetapi mungkin terdapat komplikasi lain juga yang boleh dikaitkan dengan PMS iaitu menopaus.
Orang yang mengalami gangguan prahaid, atau PMD, seperti sindrom prahaid dan gangguan dysphoric prahaid yang lebih teruk, mempunyai risiko mengalami menopaus awal, berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh JAMA Medical News.
Di dalam kajian itu juga, pakar mendapati bahawa berbanding wanita tanpa PMD, mereka yang mempunyai PMD mempunyai 2.67 kali ganda risiko menopaus awal. Untuk pengetahuan anda, fasa menopaus awal ini adalah membimbangkan kerana ia boleh mengakibatkan beberapa masalah kesihatan lain.
Untuk pengetahuan anda, dalam kajian yang dilaksanakan pada tahun 2010 mendapati bahawa wanita yang mengalami menopaus awal berisiko tinggi untuk mengalami penyakit kardiovaskular, osteoporosis dan penyakit saraf. Malah, penurunan kognitif turut boleh berlaku dalam tempoh berkenaan.
Selain itu, dalam kajian yang menyokong hubungan antara PMS dan menopaus turut menunjukkan bahawa kedua-duanya mempunyai faktor risiko yang sama seperti perkembangan semasa akil baligh.