Ini 5 Mesin Gedegang Unik Yang Pernah Diperkenalkan Di Sekitar Lembah Klang

September 26, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Tahukah anda, selain daripada membeli makanan dan minuman di mesin layan diri atau turut dikenali sebagai mesin gedegang, terdapat banyak lagi produk lain yang boleh anda dapatkan termasuklah pembelian surat khabar, telekung, beg tangan dan banyak lagi.

Bagi anda yang ingin mencuba untuk mendapatkan barangan menarik di mesin gedegang ini, berikut adalah senarai mesin yang boleh anda temui dan dapati di sekitar Lembah Klang.

Mesin Gedegang Beg Tangan – Tracey

Pada bulan November 2022 yang lepas, Tracey sebuah jenama fesyen tempatan telah hadir dengan sebuah mesin layan diri beg tangan yang pertama oleh Tracey. 

Melalui mesin ini, ia akan mengeluarkan beg tangan yang anda kehendaki selepas anda membuat pembayaran secara nirtunai menerusi kad debit atau kredit.

Sekiranya anda ingin mencuba pengalaman membeli beg tangan di mesin layan diri, mesin Tracey ini boleh didapati di Pavilion Bukit Jalil. Mesin layan diri menawarkan cara yang mudah dan cepat untuk pelanggan yang sedang dalam perjalanan, untuk segera merebut beg tangan pilihan mereka.

Mesin Gedegang Akhbar – ATLAS Vending Dengan Kerjasama Media Mulia Sdn Bhd

Mesin gedegang lain yang pernah diperkenalkan adalah mesin layan diri yang menjual akhbar fizikal di hab pengangkutan KL Sentral dan stesen LRT Bangsar serta Ampang Park.

Melalui kerjasama perintis ini, mesin-mesin terbabit ditempatkan di laluan transit utama penduduk Lembah Klang yang akan menawarkan kemudahan kepada mereka yang berulang-alik ke tempat kerja menggunakan pengangkutan awam untuk mendapatkan bahan bacaan akhbar harian, tanpa perlu berkunjung ke gerai akhbar, kedai serbaneka ataupun stesen minyak.

Mesin Gedegang Edisi Braille – ATLAS Vending

ATLAS Vending, dengan kerjasama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) telah hadir dengan program rintis yang menempatkan kiosk atau mesin layan diri yang menampilkan ciri Braille bagi membantu memberikan akses kepada pelanggan kelainan upaya penglihatan.

Program ini turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai mesin layan diri Braille pertama di Malaysia. Usaha ini selaras dengan sasaran ATLAS Vending untuk mengurangkan halangan yang dialami oleh komuniti kelainan upaya penglihatan, seperti akses yang terhad kepada mesin layan diri yang menjual minuman di tempat-tempat awam.

Mesin Gedegang Bunga Segar – Floversary

Seterusnya adalah mesin gedegang yang menawarkan pembelian bunga segar 24 jam yang diperkenalkan oleh Floversary. Menerusi penawaran ini, anda boleh mendapatkan bunga-bunga yang telah dibungkus dan dihias terus di mesin gedegand dan membuat pembayaran secara nirtunai.

Floversary menyasarkan untuk membekalkan produk bunga segar ke setiap sudut penting di Malaysia, dan baru-baru ini mereka juga mengembangkan model perniagaan mereka dengan mesin layan diri pintar berkuasa Vendron.

Mesin layan diri menggunakan UI jualan interaktif yang boleh memainkan iklan video untuk pemasaran dan promosi produk dan jenama yang lebih baik.

Mesin Gedegang Family Mart

FamilyMart turut hadir dengan satu inisiatif baru yang memudahkan pembelian on-the-go untuk para pelanggan yang mana ia menawarkan beberapa produk makanan dan minuman yang menarik, sama seperti yang turut ditawarkan di kedai berkenaan.

Antara makanan dan minuman yang boleh anda dapatkan di kiosk berkenaan termasuklah Onigiri, roti sandwic, pemanis mulut dan juga beberapa jenis minuman buah-buahan, teh dan juga kopi.

Bukan itu sahaja, anda juga tidak perlu risau akan transaksi pembayaran kerana tidak seperti mesin air yang lain, FamilyMart Mini ini menerima pembayaran melalui dompet digital seperti Touch ‘n Go eWallet, Boost, GrabPay dan juga Maybank QRPay. Malah, ia turut membenarkan pembayaran dilakukan menggunakan kad debit dan juga kad kredit. Menarik bukan?

Selain daripada 5 mesin gedegang di atas, terdapat banyak lagi mesin gedegang menarik yang turut pernah diperkenalkan. Ini termasuk mesin gedegan penjualan telekung, mesin gedegang yang menjual ubat-ubatan atau peralatan kesihatan, mesin gedegang yang menjual produk kosmetik dan banyak lagi.

Di antara kesemua mesin gedegang ini, manakah yang pernah anda cuba sebelum ini? Apakah pengalaman pembelian anda menggunakan mesin layan diri tanpa perlu berinteraksi dengan individu atau pekerja mereka secara bersua muka?

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd