Carian
Bolehkah Kanak-Kanak Mengalami Masalah Lingkaran Gelap Bawah Mata?
September 26, 2023 Lina Rosli

Seringkali kita mendengar tentang kehadiran masalah lingkaran gelap bawah mata dalam kalangan dewasa. Namun, tahukah anda bahawa kanak-kanak juga mempunyai potensi untuk mengalami masalah mata ‘panda’ bergantung kepada satu-satu keadaaan?

Secara umumnya, lingkaran gelap bawah mata boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

  • genetik
  • peningkatan umur
  • anemia
  • alahan
  • pendedahan kulit mata kepada sinar matahari
  • dehidrasi
  • keletihan mata

Dan kanak-kanak sebenarnya tidak terlepas untuk mengalami hal yang sama. Walau bagaimanapun, untuk pengetahuan anda, masalah lingkaran gelap bawah mata ini sebenarnya tidak selalu berlaku dalam kalangan anak kecil, jika hendak dibandingkan dengan individu dewasa.

Oleh itu, sekiranya anak anda mengalami keadaan bawah mata yang gelap, ibu bapa hendaklah peka dengan keperluan kanak-kanak dan pastikan juga untuk mendapatkan nasihat daripada pakar untuk menguruskan keadaan ini.

Bagaimana Lingkaran Gelap Bawah Mata Boleh Berlaku Dalam Kalangan Kanak-Kanak?

Seperti yang anda ketahui, kulit pada bahagian mata merupakan antara bahagian kulit yang nipis. Oleh yang demikian, bahagian kulit ini sangat mudah untuk bertukar warna apabila berlaku sesuatu di sekelilingnya.

Sebagai contoh, warna urat di bahagian mata akan kelihatan lebih ketara jika dibandingkan dengan bahagian kulit yang lain. Malah, warna berkenaan berkemungkinan besar akan tampak lebih gelap berbanding biasa.

Selain itu, anda perlu tahu juga bahawa terdapat dua keadaan bawah mata gelap yang mana ia boleh muncul hanya untuk seketika ataupun secara kekal. Pada kanak-kanak ia biasanya hanya sementara.

Gejala yang boleh menyebabkan kanak-kanak mempunyai lingkaran gelap bawah mata adalah:

Genetik

Sesetengah kanak-kanak lebih cenderung mengalami pigmentasi kulit di bawah mata atas sebab keturunan (genetik mereka). Dan tabiat menangis atau menggosok mata boleh memburukkan lagi keadaan ini.

Jadinya, apabila ibu bapa mempunyai lingkaran hitam di bawah mata anda, kemungkinan besar anak anda juga akan mengalaminya. Perbezaannya ialah kanak-kanak mungkin mempunyai lingkaran hitam yang kelihatannya datang dan pergi. Tetapi apabila mereka semakin tua, lingkaran hitam di bawah mata mereka mungkin akan kekal.

Lingkaran gelap bawah mata daripada genetik biasanya tidak dikaitkan dengan sebarang jenis keadaan kesihatan.

Kurang tidur

Ada satu keadaan yang mana bawah mata kanak-kanak boleh menjadi gelap.

Apakah keadaan itu? Jawapannya adalah apabila kanak-kanak mengalami jumlah tidur yang sedikit. Keadaan ini biasanya berlaku sekiranya kanak-kanak mempunyai satu hobi baru sama ada bermain permainan video, membaca komik di tablet, menonton video di Youtube dan lain-lain.

Sesetengah kanak-kanak hanyalah burung hantu malam yang tidak suka tidur tepat pada waktunya. Walau apa pun sebabnya, mungkin terlalu sedikit tidur boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami lingkaran bawah mata gelap. Walau bagaimanapun, jika tidur anak anda normal atau mereka kelihatan tenang, ini tidak mungkin menjadi puncanya.

Kerengsaan mata

Terdapat juga kemungkinan yang mana lingkaran gelap bawah mata ini berlaku disebabkan oleh kerengsaan yang berpunca dari objek asing, seperti habuk dan bulu haiwan peliharaan.

Apabila ini berlaku, kanak-kanak banyak menggosok mata mereka. Ini boleh menyebabkan lebih banyak kerengsaan di sekeliling mata dan lebih banyak bengkak.

Selain itu, pastikan anak-anak anda mendapatkan jumlah air yang secukupnya. Ini kerana apabila berlaku dehidrasi, anak-anak lebih cenderung untuk mengalami masalah bawah mata gelap. Untuk mengelakkan ia terjadi juga, lengkapkan diet harian anak-anak dengan jumlah nutrisi yang mencukupi bagi memastikan zat dan keperluan nutrien yang diperlukan dapat digunakan dengan sebaiknya.

Komen