Apa Itu Sos Ikan? Apakah Perbezaan Sos Ikan Dan Sos Tiram?

September 26, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Secara umumnya, sos ikan boleh dikatakan antara bahan yang penting dan sering digunakan di dalam masakan yang berasal dari Thailand seperti tom yum, som tum, pad thai dan banyak lagi.

Namun, tahukah anda bahawa sebenarnya sos ikan juga adalah perasa yang bagus untuk sup, rebusan dan kari. Ini kerana sos ikan berfungsi dalam menambah rasa seperti menguatkan rasa pedas dan menambah ciri kepada sup atau rebusan. Untuk kari Thai, sos ikan adalah kunci untuk memberikan unsur umami yang enak dan mengimbangi rempah dalam hidangan.

Bercakap mengenai sos ikan lagi, tahukah anda, apakah bahan yang dicampur dan diadun di dalam sos ikan? Bagaimana sos ikan ini dihasilkan sebelum ia sesuai untuk digunakan di dalam masakan?

Apa Itu Sos Ikan – Apakah Bahan Yang Digunakan Untuk Menghasilkan Sos Ikan ?

Seperti hasil akhir yang anda rasa, sos ikan merupakan sos perasa yang menggunakan campuran ikan dan garam. Ia kemudiannya ditapai pada satu tempoh masa yang panjang bagi mendapatkan rasa yang seimbang untuk digunakan di dalam makanan.

Secara tradisinya, sos ikan menggunakan jenis ikan yang berminyak seperti ikan bilis, tuna ataupun makerel. Ini kerana apabila ditapai dan dibiarkan di dalam tong yang berisi garam, ikan ini akan mengeluarkan cecair secara perlahan.

Untuk segelintir sos ikan, pengeluar turut menggunakan udang atau krill selain turut menambah gula seperti karamel atau molase untuk menghasilkan tekstur yang lebih likat dan pekat.

Di Thailand, sos ikan dirujuk sebagai nam pla. Sementara di Kemboja pula, sos ikan dikenali sebagai teuk trei. Di Laos, sos ikan dipanggil nam pa, patis di Filipina, dan ngan bya yay di Burma.

Walaupun penggunaannya yang meluas dan pengenalan utama dengan masakan Asia, sos ikan dipercayai berasal dari orang Yunani purba yang memancing di sepanjang Laut Hitam.

Perbezaan Antara Sos Ikan Dan Sos Tiram

Tidak dinafikan kedua-dua sos ikan dan sos tiram sebenarnya mempunyai rupa yang hampir sama.

Cuma apa yang membezakan kedua-dua sos ini adalah sos ikan mempunyai tekstur yang sedikit berair, agak jernih dan masin. Sementara sos tiram pula lebih manis kerana hanya menggunakan sedikit garam.

Selain daripada perbezaan rupa, sos tiram juga diperbuat daripada ekstrak tiram yang menjadikan aromanya tidak sekuat sos ikan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd