Carian
Fahami Faktor Risiko Kanser Payudara Di Kalangan Wanita Menopaus
October 6, 2023 Lina Rosli

Kanser payudara kekal sebagai penyakit yang membimbangkan golongan wanita bagi wanita di seluruh dunia, dan terdapat pelbagai perbincangan tentang bagaimana kesannya boleh berubah-ubah apabila seseorang wanita itu memasuki fasa menopaus dalam hidupnya.

Di Malaysia, kanser payudara menduduki kedudukan tertinggi sebagai kanser utama di kalangan wanita. Statistik juga mendedahkan bahawa 1 daripada 19 wanita Malaysia menghadapi risiko untuk mendapat kanser payudara pada satu ketika dalam hidup mereka dan mengakibatkan kira-kira 3,500 nyawa terkorban setiap tahun.

Daripada statistik yang membimbangkan ini, terdapat keperluan kritikal untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran dan pemahaman menyeluruh tentang faktor risiko yang boleh menyumbang kepada kanser payudara. 

Dalam usaha untuk menjelaskan topik penting ini, Pakar Perunding dan Pakar Bedah Payudara, Endokrin Pembedahan Am daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Suziah Mokhtar, dan Pakar Perunding Onkologi, Dr Hafizah Zaharah Ahmad berganding bahu dalam memberikan pandangan mereka tentang apa sebenarnya kaitan di antara kanser payudara dan menopaus serta bagaimana para wanita boleh menangani kebimbangan masalah kesihatan yang boleh disebabkan oleh pelbagai aspek ini. 

Perubahan hormon ketika menopaus

Pertama sekali, adalah penting untuk faham bahawa menopaus itu sendiri secara semula jadi tidak meningkatkan risiko untuk mendapat kanser payudara.

Sebaliknya, risiko kanser payudara meningkat seiring dengan peningkatan usia, dan fasa yang berbeza dalam kehidupan seseorang wanita membawa kepada perubahan hormon yang berbeza.

Dr Hafizah berkongsi bahawa perubahan ini memainkan peranan penting dalam risiko kanser payudara, terutamanya disebabkan oleh pengaruh hormon seperti estrogen dan progesteron pada tisu payudara.

Tahap estrogen yang tinggi, terutamanya dalam tempoh yang berpanjangan, boleh merangsang pertumbuhan sel payudara dan meningkatkan risiko mutasi yang boleh menyebabkan kanser. Inilah sebabnya mengapa faktor seperti awal mendapat haid, lewat mendapat menopaus dan terapi penggantian hormon dikaitkan dengan risiko kanser payudara yang lebih tinggi, kerana ia mendedahkan tisu payudara kepada estrogen untuk tempoh yang lebih lama.

Kehamilan dan penyusuan susu ibu juga dapat mengurangkan pendedahan wanita kepada estrogen secara sementara dan mungkin memberi perlindungan terhadap kanser payudara. Namun begitu, risiko ini mungkin meningkat selepas bersalin jika kehamilan pertama berlaku ketika wanita itu lebih berusia.

Kategori Risiko Kanser Payudara

Pakar turut menghuraikan lebih lanjut bahawa risiko kanser payudara boleh dikategorikan kepada dua jenis utama – pramenopaus, yang dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara hormon-reseptor-positif (HR+), dan selepas menopaus di mana terdapat peningkatan risiko untuk kanser payudara hormon-reseptor-negatif (HR-). 

Kanser payudara cenderung untuk menjadi lebih agresif di kalangan wanita yang lebih muda dan di fasa pramenopaus berbanding wanita yang lebih tua dan telah menopaus. Menopaus penting dari segi rawatan khusus yang mungkin berkesan untuk pesakit.

Wanita pramenopaus dengan HR+ mungkin lebih sesuai untuk dirawat dengan menggunakan ubat-ubatan yang menyekat tindakan estrogen. Untuk wanita selepas menopaus dengan kanser payudara jenis HR+, ubat alternatif untuk menurunkan paras estrogen juga boleh digunakan.

Apabila wanita HR+ pramenopaus mendapat rawatan menggunakan ubat untuk menurunkan tahap estrogen, mereka mungkin akan mengalami menopaus kimia disebabkan penggunaan ubat yang merangsang otak untuk menyekat ovulasi dan pengeluaran hormon ovari,” kongsi Dr Suziah.

Lebih-lebih lagi, umum mengetahui bahawa semakin lama seseorang wanita itu terdedah kepada hormon wanita (sama ada dibuat oleh badan atau diperoleh daripada ubat-ubatan atau tampalan), semakin besar kemungkinan untuk mereka mendapat kanser payudara.

Sesetengah wanita juga mungkin mengalami simptom perimenopaus seperti kilat panas ataupun hot flashes, masalah tidur dan kekeringan faraj. Mereka mungkin memilih untuk menggunakan gabungan terapi penggantian hormon untuk mengurangkan gejala mereka tetapi ia boleh meningkatkan risiko kanser payudara sedikit. Oleh itu, risiko kanser payudara menjadi lebih tinggi jika terapi penggantian hormon digunakan secara lebih lama. 

Merungkai Persepsi Yang Tidak Benar Tentang Kanser Payudara

Apabila bercakap mengenai menopaus dan kanser payudara, ramai yang tidak dapat membezakan fakta daripada fiksyen kerana terdapat banyak maklumat yang dikongsi mengenai perkara ini.

Sebagai contoh, sesetengah orang mungkin mempunyai tanggapan bahawa menopaus bertindak sebagai perisai terhadap kanser payudara, atau mamogram tidak lagi perlu dilakukan oleh wanita yang sudah menopaus. 

Risiko kanser payudara memang meningkat seiring usia, dan risikonya lebih tinggi bagi wanita yang belum mengalami menopaus, tetapi ini tidak bermakna wanita menopaus benar-benar kebal – sebenarnya kanser payudara boleh dan memang berlaku semasa dan selepas menopaus.

Satu lagi tanggapan salah yang berbahaya ialah tentang bagaimana ujian mammogram tidak diperlukan oleh wanita yang sudah menopaus. Mamogram kekal sebagai ujian saringan penting untuk mengesan kanser payudara bagi wanita menopaus, dan pengesanan awal melalui mamogram boleh menyelamatkan nyawa.

Satu lagi persespi salah ialah ramai wanita panik apabila mereka menemui ketulan di payudara dan mereka akan menganggap ia pasti kanser. Walau bagaimanapun, tidak semua ketulan payudara adalah jenis malignant (kanser).

Malah, majoriti ketulan payudara yang ditemui semasa menopaus adalah jenis benign (bukan kanser). Walau bagaimanapun, sebarang ketulan baru yang ada di payudara anda harus dinilai oleh doktor pakar untuk melihat jika ianya kanser atau bukan.

Cara Mengurus Dan Mengurangkan Risiko Kanser Payudara

Walau apapun, mengamalkan diet yang sihat dan tinggi serat serta rendah lemak secara tidak langsung boleh mengurangkan risiko wanita mendapat kanser payudara melalui insiden obesiti yang lebih rendah.

Wanita yang dirawat untuk peringkat awal kanser payudara juga kurang berkemungkinan untuk menghidap kanser semula jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat dengan diet tinggi serat dan rendah lemak.

Bersama-sama dengan senaman yang mencukupi dan mengelakkan penambahan berat badan yang berlebihan, wanita itu boleh mengurangkan risikonya untuk mendapat kanser payudara.

Komen