Carian
PEMADAM Dengan Kerjasama Ikram Health Dan M3 Anjur Program Cegah Merokok Dan Vape Dalam Kalangan Remaja B40
October 9, 2023 Lina Rosli

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) bekerjasama dengan pertubuhan kesihatan seperti Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (Ikram Health) dan Medical Mythbusters Malaysia (M3) telah menganjurkan sebuah program intervensi bagi golongan remaja B40 bagi mencegah merokok dan penggunaan vape.

Untuk pengetahuan anda, sebelum ini terdapat pelbagai program anti-merokok telah dijalankan sejak tahun 2015 oleh KKM dan tahun 2020 pula oleh PEMADAM dengan kerjasama mQuit dan juga pertubuhan bukan kerajaan lain. Kesemya program ini adalah bertujuan untuk memberikan sokongan kepada orang awam dalam objektif untuk berhenti merokok dan penggunaan vape.

Menurut PEMADAM, program intervensi ini merupakan program pertama yang difokuskan kepada remaja golongan B40 yang berusia antara 14 hingga 18 tahun dari Lembah Klang. Ibu bapa dan remaja dijemput menghadiri sesi taklimat yang dipimpin oleh Pertubuhan Ibu Bapa Mencegah Rokok & Vape (PAVAC) bagi membimbing mereka melalui proses untuk berhenti merokok.

Selain itu, terdapat beberapa ujian yang akan dijalan seperti ujian hembusan Karbon Monoksida (CO) dan Pemeriksaan Spirometri untuk menguji kapasiti dan keupayaan paru-paru mereka, yang boleh terjejas jika merokok atau menggunakan vape.

Tambah PEMADAM lagi, inisiatif ini dilaksanakan adalah bagi mengatasi masalah tabiat merokok dan penggunaan vape dari awal. Ini kerana terdapat kemungkinan kesan negatif jangka panjang boleh berlaku ke atas remaja akibat penggunaan e-rokok dan vape. Walaupun terdapat laporan oleh penaja tembakau, yang memberikan hasil laporan yang bercanggah, namun, masih tidak dapat menyatakan bahawa vape dan e-rokok adalah selamat.

Komen