Carian
Jaga Kesihatan Tulang Belakang Anda Menerusi Langkah S.T.O.P
October 9, 2023 Lina Rosli

Setiap orang pasti pernah merasai rasa sakit badan dan kekejangan dari masa ke semasa. Tetapi jika ia kerap berlaku, anda berkemungkinan memerlukan bantuan profesional untuk memperbaiki postur anda yang buruk.

Secara umumnya, banyak faktor yang boleh menyebabkan sakit belakang dalam kalangan individu. Ini termasuklah:

  • Ruang kerja yang tidak dirancang dengan baik sehingga menyebabkan leher perlu sentiasa membongkok ke depan ketika menggunakan telefon pintar atau tablet
  • Melakukan pergerakan berulang seperti membongkok dan memusingkan pinggang sepanjang hari ketika mengambil dan mengangkat barang atau perabi

Disebabkan tabiat buruk ini, tulang belakang anda menjadi mangsa dan merasai kesakitan sehingga membawa kepada kesakitan muskuloskeletal kronik.

Tambah Timbalan Pengarah Pusat Perubatan Komplementari dan Alternatif di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) juga, Janice Chan Vey Lian, setiap individu seharusnya mengambil berat tentang kesihatan tulang belakang. Dan bersempena Hari Tulang Belakang Sedunia 2023, IMU hadir dengan pendedahan tentang cara menghentikan (S.T.O.P.) sakit belakang.

Apa Itu S.T.O.P?

S.T.O.P merupakan langkah atau amalan yang perlu dipraktikkan oleh individu bagi memastikan kesihatan tulang belakang terjamin.

Terma S.T.O.P ini merujuk kepada S (Sit Up Straight and Stretch), T (Take a break), O (Organise) dan P (Professional Help).

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang 4 terma ini, Tajria akan berkongsikan kepada anda perkara yang perlu dipraktikkan untuk mendapatkan kesihatan tulang belakang yang ideal.

S = Sit Up Straight and Stretch (Duduk tegak dan lakukan regangan)

Jika anda tanya, apakah punca utama kepada masalah tulang belakang? Jawapannya adalah postur dan tabiat gaya hidup yang buruk.

Kita selalu tidak menyedari akan postur badan dan cara kita melakukan tugas seharian seperti ketika menggunakan peranti digital sehinggalah kepada bagaimana kita mengangkat benda berat. Ditambah dengan situasi di mana berlakunya gangguan gaya hidup seperti bekerja atau belajar dari rumah dan tidak bersedia dengan perubahan gaya hidup serta kerjaya susulan pandemik.

Untuk mencegah kesakitan muskuloskeletal, mental kita perlu menyedari keadaan postur kita. Walaupun kedengaran mudah, duduk tegak dan melakukan regangan dengan kerap boleh membantu.

T = Take a break (Berehat)

Selari dengan tema Hari Tulang Belakang Sedunia pada tahun 2023, ‘Gerakkan Tulang Belakang Anda’, anda sebenarnya perlu kerap melakukan regangan dengan betu;/

Oleh itu, untuk melakukan regangan, anda disarankan untuk menetapkan peringatan berjadual untuk bangun dan menggerakkan tulang belakang.

O = Organise (Mengatur)

Selain daripada melakukan regangan dan rehat, terdapat beberapa petua lain yang boleh anda lakukan untuk mendapat postur badan yang lebih baik. Ini termasuk:

  1. Laraskan ketinggian skrin komputer anda pada paras mata menggunakan buku atau kotak yang kukuh.
  2. Besarkan paparan dan cerahkan skrin supaya anda dapat melihat dan membaca tanpa perlu membongkok ke depan.
  3. Gunakan kerusi dengan sokongan belakang yang baik yang diletakkan pada ketinggian yang membolehkan tapak kaki anda merata di lantai dengan lutut dibengkokkan pada sudut 90 darjah
  4. Gunakan bangku bagi mengelak daripada bercangkung semasa berkebun atau memandikan bayi.
  5. Letakkan barang-barang keperluan di tempat yang mudah dicapai supaya tidak perlu selalu membongkok atau memusingkan pinggang.

Selain itu, anda juga perlu mengetahui tentang cara menguruskan beban atau berat yang perlu ditampung di sepanjang tempoh bekerja.

  • Uruskan beban berat untuk menggunakan beg yang diperbuat daripada bahan yang lebih ringan
  • Agihkan berat sama rata. Secara umum, anda dinasihati untuk membawa beban kurang daripada 10 peratus berat badan kita dan diagihkan sama rata pada kedua-dua bahu. Apabila dipakai dengan betul, beg galas belakang membolehkan kedua-dua bahu menanggung beban tersebut. Apabila membawa beg tangan atau beg jinjing, keraplah bertukar tangan yang menjinjingnya 
  • Bawalah beban yang lebih kecil atau lebih ringan. Jika bebannya besar dan berat, agihkan dan angkatlah beberapa kali. 
  • Gunakan postur yang betul – angkat menggunakan lutut, letakkan benda yang selalu digunakan sehampir yang boleh dan tempatkan benda berat di aras yang lebih tinggi  
  • Belajar teknik kecergasan dan bersenam yang betul dengan bantuan jurulatih. Jika perlu, dapatkan nasihat mereka untuk mengubahsuai cara anda bersenam bagi mengelakkan ketegangan atau kecederaan

P = Professional Help (Bantuan Profesional)

Antara solusi lain yang boleh anda amalkan adalah mendapatkan bantuan dari golongan profesional. Sebagai contoh, anda boleh berjumpa dengan ahli kiropraktor bagi membantu menguruskan masalah seperti skoliosis dan sakit belakang.

Contoh bantuan yang diberikan termasuklah seperti:

  • melakukan penjajaran tulang
  • membantu memperbaiki pergerakan

Akhir sekali, perkara paling penting bagi memastikan kesihatan tulang belakang adalah untuk pesakit bercakap mengenai masalah, keperluan dan harapan mereka dalam rawatan.

Sering kali pesakit enggan bercakap dan ini akan memberi kesan kepada hasil rawatan. Oleh itu, pastikan anda jelas dengan apa yang anda mahu dan jika anda tidak pasti, teruskan bertanya.

Komen