Sekitar 580 Juta Individu Yang Mengalami Hipertensi Tidak Menyedari Keadaan Mereka Dan Tidak Pernah Didiagnosis
Lina Rosli
Bilangan orang dewasa berumur 30 hingga 79 tahun dengan hipertensi telah meningkat daripada 650 juta kepada 1.28 bilion dalam tempoh tiga puluh tahun yang lalu berdasarkan sebuah analisis global komprehensif pertama yang dilakukan oleh Imperial College London dan WHO.
Dan apa yang lebih mengejutkan, hampir separuh individu ini tidak tahu bahawa mereka mempunyai hipertensi.
Secara umumnya, hipertensi merupakan satu keadaan kesihatan yang meningkatkan risiko penyakit jantung, otak dan buah pinggang dengan ketara, dan merupakan salah satu punca utama kematian dan penyakit di seluruh dunia.
Hipertensi boleh dikesan dengan mudah melalui pengukuran tekanan darah, di rumah atau di pusat kesihatan, dan selalunya boleh dirawat dengan berkesan dengan ubat-ubatan yang kos rendah.

Penghidap Hipertensi Kebanyakan Datang Dari Kalangan Individu Yang Menetap Di Negara Berpendapatan Rendah Dan Sederhana
Kajian yang dijalankan oleh rangkaian global pakar perubatan dan penyelidik, mendapati terdapat sedikit perubahan dalam kadar keseluruhan hipertensi di dunia dari 1990 hingga 2019, yang mana individu yang mengalami hipertensi kini kebanyakan datang dari negara berpendapatan rendah dan sederhana berbanding sebelum ini yang banyak dalam kalangan negara kaya.
Kadar hipertensi telah menurun di negara kaya – yang kini biasanya mempunyai beberapa kadar terendah – tetapi telah meningkat di banyak negara berpendapatan rendah atau sederhana.
Akibatnya, Kanada, Peru dan Switzerland mempunyai antara prevalens hipertensi terendah di dunia pada 2019, manakala beberapa kadar tertinggi dilihat di Republik Dominican, Jamaica dan Paraguay untuk wanita dan Hungary, Paraguay dan Poland untuk lelaki.

Walaupun peratusan orang yang menghidap hipertensi telah berubah sedikit sejak 1990, bilangan penghidap hipertensi meningkat dua kali ganda kepada 1.28 bilion. Ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan penduduk dan penuaan.
Pada 2019, lebih satu bilion orang yang menghidap hipertensi dan 82% daripada semua orang yang menghidap hipertensi di dunia menetap di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Kajian WHO turut mendedahkan jurang yang ketara dalam diagnosis dan rawatan. Kira-kira 580 juta orang dengan hipertensi iaitu 41% wanita dan 51% lelaki tidak menyedari keadaan mereka kerana mereka tidak pernah didiagnosis.
Kajian itu juga menunjukkan bahawa lebih separuh daripada individu yang mengalami hipertensi, atau sejumlah 720 juta orang, tidak menerima rawatan yang mereka perlukan.