Selari dengan misi mereka untuk mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2025, Nestle telah memperlihatkan beberapa alternatif baharu yang memfokuskan kepada penggunaan pek pembungkusan pakai semula.
Baru-baru ini, berdasarkan perkongsian Nestle di laman Facebook mereka, di Jerman, jenama ini telah bekerjasama dengan Circolution, syarikat permula tempatan, menerusi penggunaan bekas minuman yang boleh diguna semula – bekas minuman keluli tahan karat (stainless steel).


Menurut Nestle, untuk bekas minuman ini, Circolution akan menyewakan bekas ini kepada Nestlé dengan bayaran pembungkusan sebagai perkhidmatan (packaging as a service) dan mengurus pembersihan, pemeriksaan dan pengangkutannya.
Di Jerman, mereka telah memperkenalkan sistem DRS (Deposit Return Scheme) yang mana pembeli akan mengembalikan pembungkusan selepas penggunaan melalui mesin deposit.

Sebelum ini, di Malaysia, Nestle Malaysia hadir dengan solusi unik dalam menangani isu sisa plastik dengan memperluaskan lagi penggunaan pembungkusan mesra alam.
Untuk pengetahuan anda, selari dengan misi ini, Nestle Malaysia mula menggunakan plastik resin kitar semula (rPET) berkualiti tinggi sebagai pek pembungkusan untuk produk Sedia Minum (RTD).

Dengan beralih kepada botol 100% rPET dan lebih banyak penyelesaian pembungkusan berasaskan kertas, Nestle dapat mengurangkan penggunaan plastik yang sukar untuk dihapuskan serta mampu mengurangkan jejak karbon menjelang 2025.