Carian
Perubahan Iklim Boleh Menjejaskan Kesihatan Mental Golongan Muda – Terutama Kanak-Kanak
October 12, 2023 Lina Rosli

Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Psikologi Amerika dan ecoAmerica, perubahan iklim boleh memainkan peranan utama dalam menjejaskan kesihatan mental golongan muda.

Ia memperlihatkan bagaimana peristiwa alam sekitar dikaitkan dengan perubahan iklim – termasuk bencana melibatkan cuaca, suhu melampau dan kualiti udara yang lemah – boleh mencetuskan atau memburukkan lagi isu kesihatan mental untuk kanak-kanak dan remaja.

Berdasarkan laporan itu juga, perubahan dari segi mental golongan muda ini boleh berlaku kesan daripada masalah jangka panjang bencana alam. Sebagai contoh, kemarau yang berpanjangan atau suhu panas melampau boleh meningkatkan risiko kebimbangan, kemurungan, gangguan bipolar, pencerobohan, gangguan kognitif dan banyak lagi.

Mengapa bencana sedemikian boleh mengganggu mental kanak-kanak? Antara contoh yang boleh diambil adalah apabila kemarau panjang, ketersediaan makanan boleh mengalami gangguan dan sekiranya ia berpanjangan, kanak-kanak mungkin mempunyai kerisauan dengan ancama tidak cukup bekalan makanan dan sebagainya.

Ataupun, apabila berlaku banjir di kawasan setempat, ia boleh mengganggu kehidupan kanak-kanak seperti kelas mungkin dibatalkan, rumah mereka mungkin rosak, atau mereka mungkin tidak boleh berjumpa dengan kawan-kawan sekelas.

Selain daripada itu, jika ibu bapa juga berada di dalam keadaan tertekan dan mempunyai kesukaran untuk beradaptasi dengan bencana alam, ia sedikit sebanyak turut boleh memberi kesan kepada kesihatan mental anak-anak mereka juga.

Dan apabila anak-anak melihat dan mengalami ketidakstabilan emosi ibu bapa, mereka akan mempelajari emosi berkenaan. Akibatnya, proses pembelajaran ini memberi kesan kepada reaksi mereka ke atas bencana alam ini.

Komen