Pembesar Suara Dengan Reka Bentuk Estetik – Ruark Audio Memperkenalkan R410 Sebagai Model Pertama Untuk Siri R100

October 13, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Bagi anda yang sedang mencari pembesar suara yang menepati keperluan hiasan dalaman rumah anda, nampaknya jangan ketinggalan untuk menambah jenama Ruark Audio di dalam senarai pembelian.

Untuk pengetahuan anda, Ruark Audio merupakan syarikat British yang menawarkan pilihan produk audio yang memfokuskan kepada kualiti bunyi audio yang dinamik dan juga semula jadi. Dan kini, jenama ini dilihat sedia untuk memperluaskan variasi produk mereka dengan menambah siri mercu menerusi siri R100 – model R410.

Menurut Ruark Audio, R410 ini tampil dengan perincian rekaan yang minimalis dan premium yang mana ia menggunakan kayu buatan (man-made) bagi mendapatkan hasil yang eksklusif.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, anda boleh melihat rekaan R410 adalah sedikit berbeza dengan penawaran produk Ruark Audio yang lain yang menggunakan fabrik pada ruang audio, yang mana ia menampilkan penggunaan jeriji kayu yang disusun secara konsisten bagi menghasilkan hasil bunyi yang lebih berkualiti.

Dari segi teknologi dan binaan dalaman pula, R410 hadir dengan ciri yang membenarkan perkhidmatan penstriman diakses. Ia dilengkapi dengan pemproses berkuasa yang mampu menyokong fail dan strim audio berkualiti tinggi, termasuk Spotify Connect, Tidal Connect, Apple AirPlay dan Chromecast secara terbina di dalam produk.

Bukan itu sahaja, R410 turut boleh menyambung dengan peranti lama seperti meja putar (pemain vinyl) atau pemacu CD.

Anda juga boleh melihat pada bahagian hadapan pembesar suara ini, terdapat skrin kecil berwarna yang dinamakan sebagai pengawal RotoDial – yang akan memaparkan interaksi antaran pengguna dan R410 sewaktu mengawal muzik pada telefon pintar mereka.

Untuk mendapatkannya, pengedar sah Ruark Audio adalah VSTECS yang mana R410 akan tersedia untuk pembelian mulai akhir Q4 2023 pada harga RM8,899 sebuah di kedai khusus seperti Atlas Sound and Vision (The Gardens Mall), Charlie Care, Audio Concept, Grex Multimedia, Mylo Trading, Impulse Gaming (KL Flagship Store), Begins Acoustic, Style Laser, TechX Malaysia, Top Audio Marketing, Maison Audio, Direct-D, Asia Sound Equipment, Cinesound Gallery, Harmonic AV, Shomez ataupun di kedai atas talian Lazada dan Shopee.

Bagi yang tidak mengetahui, sebelum ini, Ruark Audio telahpun hadir dengan pelbagai pilihan pembesar suara yang kompak termasuk pengenalan siri R1. Ia adalah produk pertama yang mereka lancarkan pada tahun 2006 dan masih menjadi kegemaran ramai sehingga ke hari ini.

Ia direka dengan saiz dan kadar yang sempurna, diperbuat dengan binaan bahan yang berkualiti dan dalam pada masa yang sama menampilkan kualiti audio yang setanding dengan pembesar suara besa.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd