Carian
Mengapa Ada Buah Yang Akan Masak Ranum Selepas Dipetik – Tetapi Ada Juga Yang Sebaliknya?
October 16, 2023 Lina Rosli

Pernah terfikir mengapa buah pelam mangga yang anda beli biasanya akan terus masak di rumah, sedangkan strawberi tidak menjadi lebih manis dan sebaliknya hanya mula tumbuh kulat?

Untuk pengetahuan anda, proses masak ranum ini sebenarnya merupakan proses metabolik yang sangat komplek. Sesetengah buah-buahan mempunyai mekanisme yang mensintesis etilena atau ethylene, iaitu hormon semulajadi yang memainkan peranan dalam perubahan komposisi dan penukaran kanji kepada gula.

Dan proses ini bergantung kepada kategori buah yang dipetik – sama ada buah klimakterik yang mana ia akan masak apabila mereka matang ataupun buah bukan klimakterik yang mana ia perlu matang dan masak di atas pokok.

Jenis-Jenis Buah Klimakterik

Contoh buah-buahan yang dikelaskan sebagai klimakterik adalah seperti pisang, tomato, pir, pelam atau mangga, pic, epal dan avokado.

Produk klimakterik secara keseluruhan mengeluarkan lebih banyak etilena apabila buah masak. Dan selepas masak ranum, pengeluaran etilena mereka berkurangan dengan jumlah yang ketara. Kerana ini, buah klimakterik cenderung masak dengan cepat dan akan menghasilkan rasa dan aroma.

Oleh yang demikian juga, kebanyakan pekebun atau pengeluar buah akan cenderung untuk memetik buah-buahan dan sayur-sayuran klimakterik lebih awal, iaitu semasa mereka masih hijau. Mereka kemudiannya akan menyuntik gas etilena ke dalam unit simpanan untuk membawanya ke fasa masak yang diingini, sebelum dijual kepada pengguna.

Jenis-Jenis Buah Bukan Klimakterik

Berbeza dengan buah-buahan klimakterik, jenis bukan klimakterik tidak akan masak selepas dipetik atau buah tersebut berpisah dari tangkai dan batang pokok.

Hal ini kerana buah bukan klimakterik mempunyai tidak balas yang berbeza dengan paras etilena dan karbon dioksida. Disebabkan itu juga, buah-buahan dari kumpulan ini perlu ditunggu sehingga masak dan ranum di tangkai pokok sebelum dijual kepada pengguna. Jika ia dipetik terlalu awal, ia akan menghentikan proses pematangan buah berkenaan.

Contoh hasil bukan klimakterik adalah buah sitrus seperti buah limau ataupun buah beri seperti raspberi, strawberi, ceri, anggur dan juga buah-buah tanpa pokok seperti nanas dan tembikai.

Komen