Carian
Tips Menguruskan Kucing Yang Sembelit – Ketahui Faktor Yang Menyebabkan Kucing Sembelit
October 16, 2023 Lina Rosli

Sekiranya kucing anda mempunyai tanda-tanda mengalami sembelit, adalah penting untuk anda melakukan tindakan yang proaktif bagi memastikan kucing anda diuruskan dengan baik sepanjang tempoh berkenaan.

Antara langkah yang boleh anda ambil untuk menguruskan kucing yang sedang sembelit termasuklah:

  • Memberikan cecair minuman yang mencukupi. Anda juga boleh mengelakkan pemberian makanan yang keras dan kering sewaktu tempoh ini.
  • Untuk melegakan kesakitan yang dialami kucing anda, lakukan urutan lembut pada perut dan seterusnya galakkan kucing untuk terus bergerak dan bermain bagi merangsang peristalsis usus yang normal.
  • Sediakan juga diet yang bersesuaian seperti menambah serat di dalam hidangan harian bagi memudahkan kucing anda mencerna makanan.

Jika selepas beberapa hari anda masih tidak melihat najis di dalam kotak najis kucing anda, atau anak kucing anda kelihatan tidak aktif dan tidak makan, pastikan anda membawa mereka ke doktor haiwan untuk mendapatkan bantuan.

Ini kerana kucing anda mungkin memerlukan perhatian veterinar seperti menerima suntikan cecair di bawah kulit untuk membantu memulihkan penghidratan ataupun melakukan imbasan x-ray bimbang kucing mempunyai masalah penyakit yang tidak kelihatan secara fizikal.

Apakah Faktor Yang Menyebabkan Kucing Anda Sembelit?

Secara umumnya, kucing boleh mengalami sembelit disebabkan oleh beberapa faktor yang terdiri daripada faktor makanan, kesihatan dan juga persekitaran.

Malah, isu sembelit ini juga boleh berlaku tidak kira umur dan juga jantina kucing. Jainya, pastikan anda kerap melakukan pemeriksaan harian terhadap kucing anda bagi mengetahui keadaan kucing secara menyeluruh.

Berikut adalah beberapa faktor yang mendorong kepada masalah sembelit dalam kalangan haiwan:

  • Kucing mengalami masalah dehidrasi yang teruk. Untuk kucing yang tidak mendapat kuantiti cecair yang mencukupi, ia boleh mengakibatkan masalah kepada sistem pencernaan mereka.
  • Malah, kucing yang mempunyai berat badan yang berlebihan juga boleh mempunyai masalah sukar untuk membuang air besar.
  • Terdapat juga kemungkinan yang mana kucing anda telah menelan objek atau bendasing yang menyekat saluran gastro mereka.
  • Sekiranya kucing anda mengalami kecederaan pada bahagian pelvis, ia turut boleh menyebabkan penyempitan saluran pencernaan.

Untuk mengetahui sama ada kucing anda mengalami sembelit atau tidak, anda akan melihat perubahan di dalam aktiviti harian kucing seperti:

  • Hilang selera makan
  • Gelisah
  • Kerap muntah
  • Kelihatan titis darah atau luka pada kucing dan juga kawasan kotak najis
Komen