Tips Persediaan Sebelum Melakukan Ujian Darah Di Klinik Atau Hospital
Lina Rosli
Rata-rata individu pastinya tidak mengetahui apakah langkah persediaan yang perlu diambil sewaktu menghadiri prosedur mengambil darah di klinik ataupun hospital. Dan ini sekaligus boleh memberi kesan kepada kelancaran proses berkenaan.
Oleh yang demikian, Tajria hari ini akan berkongsi tips persediaan untuk anda yang perlu lakukan sehari sebelum ujian darah anda:
- Pastikan anda menyemak semula arahan yang dikongsikan oleh doktor pakar atau pembantu perubatan anda. Ini bagi mengetahui prosedur ujian darah yang bakal anda lakukan pada esok hari.
- Periksa sekiranya ujian darah yang anda hadiri memerlukan anda untuk berpuasa. Jika ya, pastikan anda tidak mengambil apa-apa makanan atau minuman berperisa selama 9 hingga 12 jam sebelum ujian. Anda juga mungkin disarankan untuk berhenti mengambil ubat-ubatan tertentu, namun ini bergantung kepada arahan doktor.
- Dapatkan rehat dan tidur yang mencukupi sebelum menghadiri prosedur ujian darah di klinik atau hospital.

Jika anda perlu berpuasa, pertimbangkan juga untuk mengelakkan aktiviti seperti merokok, minum alkohol, mengunyah gula-gula getah dan melakukan senaman yang berat. Ini semua boleh menjejaskan keputusan ujian darah.
Tetapi jika sebaliknya, anda tidak perlu berpuasa, elakkan pengambilan makanan berlemak atau mempunyai tekstur yang kompleks. Ini memastikan anda memperoleh keputusan ujian darah yang lebih tepat dan efektif.
Harus diingatkan juga untuk anda menghubungi pihak klinik atau hospital terlebih dahulu sekurang-kurangnya 1 atau 2 jam sebelum tiba di bilik rawatan bagi melakukan pengesahan temu janji.

Ketahui Jenis Ujian Darah Yang Memerlukan Anda Untuk Berpuasa
Kebiasaannya, pihak hospital atau para doktor juga akan memberitahu anda jika anda perlu berpuasa sebelum melakukan ujian darah:
- ujian fungsi hati
- ujian kolesterol
- ujian tahap trigliserida
- ujian glukosa darah
- ujian lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) dan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL)
- ujian panel metabolik