WHO Hadir Dengan Pelan Hala Tuju Pertama Tangani Punca Utama Kematian Semasa Bersalin
Lina Rosli
WHO hari ini mengeluarkan pelan hala tuju pertamanya untuk menangani pendarahan selepas bersalin (PPH) yang ditakrifkan sebagai pendarahan yang berlebihan selepas bersalin.
Untuk pengetahuan anda, isu kematian semasa bersalin ini sebenarnya telah menjejaskan berjuta-juta wanita setiap tahun dan merupakan punca utama kematian ibu di dunia. Walaupun boleh dicegah dan dirawat, PPH mengakibatkan sekitar 70,000 kematian setiap tahun.
Bahkan, apa yang lagi menggerunkan, seorang wanita dianggarkan mati setiap dua minit disebabkan oleh sebab yang berkaitan dengan kehamilan atau melahirkan anak.
Bukan itu sahaja, sekiranya ibu terselamat daripada masalah pendarahan ini, akan terdapat komplikasi lain – termasuk menyebabkan kecacatan dan trauma psikologi yang berlarutan selama bertahun-tahun.

Melalui pelan hala tuju baharu ini, ia dijangka akan membantu mengurangkan risiko pendarahan berlaku sekaligus memberi jaminan kepada lebih ramai wanita supaya melalui proses kelahiran yang selamat.
Di selatan Asia dan bahagian sub-Sahara Afrika, sekitar 85% ibu mengalami pendarahan selepas bersalin. Faktor utama perkara ini berlaku termasuk anemia, keabnormalan plasenta, dan komplikasi lain dalam kehamilan seperti jangkitan dan pra-eklampsia.
Langkah Mengurangkan Risiko Pendarahan Sewaktu Bersalin
Banyak faktor risiko boleh diuruskan jika terdapat penjagaan antenatal yang berkualiti, termasuk akses kepada ultrasound, di samping pemantauan berkesan dalam beberapa jam selepas kelahiran.
Jika pendarahan bermula, ia juga perlu dikesan dan dirawat dengan sangat cepat. Oleh yang demikian, pihak terlibat seharusnya hadir dengan pelan di mana menyediakan kemudahan kesihatan dan juga sumber penjagaan kesihatan yang diperlukan secara efektif, termasuk komoditi yang menyelamatkan nyawa seperti oksitosin, asid traneksamik atau darah untuk pemindahan.

Menurut WHO, Pelan Hala Tuju untuk memerangi pendarahan selepas bersalin ini sudahpun berkuatkuasa bermula 2023 hingga 2030 yang akan menggariskan matlamat dan aktiviti untuk penyelidikan, kerja normatif, pelaksanaan dan advokasi.
Tindakan keutamaan termasuk:
- pembangunan panduan baharu dan lebih luas untuk PPH meliputi pencegahan, pengesanan dan rawatan
- penyelidikan untuk menyampaikan inovasi dan untuk meningkatkan akses kepada bantuan yang efektif
- penubuhan mekanisme perolehan baharu untuk menambah baik bekalan ubat-ubatan dan komoditi berkualiti tinggi
- advokasi dan pembinaan kesedaran di peringkat negara
- penambahbaikan berasaskan kemudahan