Apakah Perbezaan Antara Minuman Green Tea Latte Dan Matcha Latte?

December 22, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Pernahkah anda tertanya-tanya tentang perbezaan di antara serbuk teh hijau matcha dan daun teh hijau?

Jika ya, tahukah anda bahawa walaupun kedua-dua minuman ini berkongsi beberapa persamaan seperti fakta bahawa kedua-duanya berasal daripada tumbuhan Camellia sinensis, namun hakikatnya kedua-dua minuman ini mempunyai beberapa perbezaan yang ketara.

Secara umumnya, matcha dan teh hijau mempunyai profil rasa yang berbeza selain turut melalui proses kaedah penanaman dan penyediaan yang berlainan.

Apakah Perbezaan Antara Teh Hijau Dan Matcha?

Berikut adalah perbezaan kedua-dua minuman ini:

#1 Perbezaan Rasa

Dari sudut rasa, teh hijau digambarkan mempunyai rasa yang lebih ringan dan segar. Bergantung pada cara ia diproses dan apa-apa herba atau botani yang telah ditambah, teh hijau yang dihasilkan mungkin boleh mengeluarkan rasa bunga, buah atau pedas.

Selain itu, teh hijau ini juga boleh menampilkan nota madu, melati, pic, sitrus, halia atau aroma lain.

Sementara matcha pula cenderung mempunyai rasa yang lebih kuat. Disebabkan itu, minuman match sering dicampur dengan susu dan pemanis untuk mengimbangi kesemua rasa yang hadir pada minuman berkenaan.

Oleh itu, seperti yang anda nampak di kebanyakan kafe, matcha mempunyai tekstur berbuih, dengan rasa sedikit manis.

#2 Perbezaan Lokasi Pengeluaran

Untuk pengetahuan anda juga, walaupun matcha dan teh hijau kedua-duanya berasal dari tumbuhan yang sama, namun tempat pengeluaran tanaman ini adalah berbeza. Rata-rata teh hijau dunia berasal dari China, manakala kebanyakan matcha pula ditanam di Jepun.

Dari segi cuaca dan waktu penanaman, teh hijau ditanam di bawah sinar matahari dan matcha ditanam teduh pada minggu terakhir sebelum menuai. Ini kerana lokasi yang lebih teduh meningkatkan tahap klorofil sekaligus menjadikan daun teh lebih gelap.

#3 Perbezaan Kaedah Penanaman

Teh hijau boleh diproses menggunakan kaedah artisanal iaitu pengeringan di bawah matahari ataupun di atas api kuali.

Namun, pada era moden ini, ramai pengeluar telah menggunakan kaedah konvensional menerusi pengeringan dengan ketuhar ataupun dikukus. Dengan ini, ia menghilangkan sebarang komponen pahit dan mengekalkan rasa semula jadi teh.

Sementara, daun matcha pula dihancurkan, dikeringkan dan kemudian dikukus selepas dituai bagi tujuan menghentikan pengoksidaan. Disebabkan itu, anda boleh melihat serbuk matcha menjadi serbuk halus yang berwarna hijau terang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd