Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Biji Kopi ‘Single Origin’?
Lina Rosli
Pernahkah anda mendengar tentang istilah ‘Single Origin’ sewaktu mendapatkan biji kopi untuk rumah atau kedai kopi anda? Jika ya, tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan biji kopi single origin (kopi asal tunggal)?
Bagi yang tidak mengetahui, kopi single origin ini sebenarnya merujuk kepada kopi yang datang dari satu negara tertentu ataupun wilayah dalam sesebuah negara.
Ada sesetengah kes juga, kopi single origin boleh juga datang dari satu ladang atau pengeluar tertentu (yang mungkin memiliki beberapa ladang).

Disebabkan ia datang dari satu tempat, kopi ini selalunya mempunyai profil rasa yang lebih unik, dan lebih mengekspresikan terroir di kawasan tempat ia ditanam. Untuk pengetahuan anda “terroir” biasanya digunakan dalam industri wain – pada asasnya merangkumi semua faktor yang menyumbang kepada rasa dalam kopi seperti:
- Ketinggian
- Kualiti dan komposisi tanah
- Keadaan iklim
- Organisma yang hidup atau tumbuh di dalam dan di sekitar ladang kopi
Adakah Kopi Single Origin Popular Dalam Kalangan Penggemar Kopi?
Berbanding dengan kopi campuran (blends) – kopi single origin kini menjadi lebih popular kerana lebih ramai pengguna lebih mementingkan kebolehkesanan dan ketelusan.
Dan disebabkan itu, jika anda perasan, di kebanyakan pek pembungkusan kopi single origin, pemanggang selalunya akan menyertakan sekali maklumat berkenaan kopi – seperti ketinggian, variasi, kaedah pemprosesan dan skor cawan bagi membantu kebolehcapaian kopi dalam pemasaran.

Mereka juga mungkin berkongsi lebih banyak maklumat tentang pengeluar dan ladang dengan pengguna sebagai cara “merapatkan jurang” antara kedua-duanya.
Selain itu, kopi single origin juga membantu menunjukkan kepada pengguna dari mana kopi mereka berasal dan cara ia ditanam.
Sebagai contoh, ada jenama yang mengeluarkan kopi yang diperoleh dari Guatemala dan Sumatera. Biji kopi berkenaan mempunyai profil rasa yang unik, keasidan rendah dan aroma yang kaya. Manakala kopi single origin lain yang diperoleh dari Brazil ‘Cerrado’ pula menawarakan paras aroma, keasidan dan rasa mereka yang lebih seimbang dan lembut.

Bagaimana Dengan Kopi Campuran (Blends)?
Secara umumnya, kebanyakan peminum kopi menggunakan campuran kopi lebih daripada mana-mana jenis kopi. Kopi ini terdiri daripada pelbagai biji dari asal yang berbeza, yang menghasilkan rasa ciri gabungan.
Biji kopi dari kategori Blends selalunya lebih konsisten dalam rasa kerana ia dicampur dan dihasilkan dalam kelompok yang lebih besar.
Selain itu, kopi campuran juga lebih seimbang dan ia mempunyai rasa yang lebih mudah didekati dan lembut. Dengan pelbagai biji yang diadun bersama, bancuhan kopi menghasilkan rasa harmoni yang menyerlahkan semua kord.