Carian
Kurangkan Risiko Penipuan Atas Talian – Ketahui Modus Operandi Yang Biasa Digunakan Oleh Penipu Atas Talian?
October 24, 2023 Lina Rosli

Berjual beli secara atas talian kini sudah menjadi lumrah kehidupan, hinggakan kita terlupa bagaimana canggungnya berbuat demikian hanya beberapa tahun lalu. Ketika kita sedang menjejaki laluan ini, pandemik yang melanda telah melonjakkan proses ini dengan lebih pantas lagi.

Ditambah lagi dengan keterbukaan individu pada masa kini dalam beradaptasi dengan kerancakkan teknologi, maka tidak hairanlah mengapa semakin pesat industri di Malaysia meluaskan capaian mereka menerusi aktiviti jual beli atas talian.

Tidak terhenti di situ, pelbagai lagi aktiviti atas talian yang turut menjadi teman rapat individu pada masa kini termasuklah platform untuk hubungan sosial dan penerimaan berita hinggalah perniagaan, perbankan dan perdagangan. Secara umumnya, huruf `e-‘ telah ditambah kepada hampir apa sahaja dalam kehidupan kita hari ini. 

Cabaran Perubahan Aktiviti Secara Fizikal Kepada Digital

Sementara ada dalam kalangan kita yang menyesuaikan diri dengan pantas, yang lain pula mendapati perubahan daripada transaksi bersemuka kepada hanya menggunakan sentuhan hujung jari agak mencabar.

Walaupun teknologi digital telah mencipta peluang baharu untuk pertumbuhan dan pembangunan, ia juga telah mewujudkan jurang digital. Ramai orang masih kekurangan akses kepada internet dan peranti digital dan ini sekaligus telah mengehadkan keupayaan mereka untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam dunia digital.

Dengan jumlah maklumat yang banyak tersedia di atas talian, sukar untuk mencari maklumat yang tepat dan boleh dipercayai. Oleh itu, orang ramai perlu membangunkan kemahiran berfikir kritis dalam mengenal pasti sesuatu perkara melalui sumber yang boleh dipercayai.

Individu dan perniagaan perlu sentiasa mengikuti aliran dan teknologi terkini serta mengambil langkah untuk melindungi diri mereka daripada ancaman siber. Ia juga penting untuk memupuk amalan celik digital dan memastikan semua orang mempunyai akses kepada alatan dan sumber yang mereka perlukan untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam dunia digital.

Pembabitan mereka di dalam ekonomi digital juga bermakna mereka mungkin menjadi sasaran penipu atau scammers. Melihat kepada skop penipuan dalam talian, penipuan edagang terutamanya, menyaksikan peningkatan yang tinggi.

Data daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (JSJK, PDRM) mendedahkan bahawa terdapat 3,512 kes pada 2019, dan meningkat kepada 5,850 kes pada 2020. Trend peningkatan ini berterusan, dengan 9,545 kes pada 2021 dan 9,258 kes pada 2022, dan seterusnya meningkat dengan lebih mendadak kepada 7,911 kes pada tarikh setakat 31 Ogos 2023.

Apa yang paling teruk ialah kerugian akibat penipuan e-dagang juga turut meningkat tinggi, dari RM28 juta pada 2019 kepada RM140 juta pada 2022. Dan pada tahun 2023, kerugian yang diperoleh pula mencatatkan sekitar RM144.8 juta.

Langkah Yang Perlu Dipraktikkan Bagi Mengurangkan Risiko Penipuan Atas Talian

Aktiviti yang paling dekat dengan individu adalah aktiviti pembelian secara atas-talian. Tidak dinafikan, aktiviti ini sememangnya cukup menyenangkan. Digabungkan pula dengan tabiat rakyat Malaysia yang mudah terpengaruh dengan tawaran hebat, ini secara tidak langsung menyumbang kepada bahaya di mana boleh terjebak di dalam muslihat dan penipuan wang di sesetengah platform edagang.

Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penipuan atas talian berlaku kepada individu, apa yang perlu anda lakukan adalah:

  1. Melakukan semakan ke atas akaun kedai atau individu ketika aktiviti jual beli berlangsung.
  2. Memeriksa nombor telefon dan bank akaun di laman web Semak Mule PDRM.
  3. Menyekat nombor asing yang membuat panggilan berkenaan dengan pembayaran ke sesuatu akaun.
  4. Sekiranya anda melakukan pembelian di platform edagang, sebagai contoh Mudah.my, pastikan anda menyimpan semua chat pada aplikasi Mudah.my untuk rujukan lanjut.

Selari dengan peningkatan kes penipuan atas talian juga, Mudah.my dan PDRM komited dalam memberi pendedahan kepada individu tentang keselamatan yang perlu ketika berada di internet. Melalui kempen #MudahDanSelamat ini, orang ramai boleh belajar kaedah memastikan diri mereka selamat daripada ditipu.

Panduan lain yang boleh dipraktikkan bagi menjamin keselamatan anda atas talian termasuklah:

  1. Berwaspada terhadap sebarang tawaran yang terlalu hebat dan sukar dipercayai. Elakkan bertindak secara FOMO (bimbang terlepas peluang) kerana inilah jerat yang penipu nanti-nantikan.
  2. Lakukan sedikit siasatan sendiri bagi mengetahui sama ada penjual atau pembeli yang berkaitan berwibawa dan semak menerusi laman web Semak Mule untuk memeriksa no. akaun bank.
  3. Jika anda guna Mudah.my, sila klik pautan www.mudah.my/ccid untuk dihubungkan terus ke laman Semak Mule. Mudah.my adalah platform dalam talian pertama yang menyediakan fungsi ini.

Apakah Modus Operandi Yang Biasa Digunakan Oleh Penipu Atas Talian?

Terdapat dua cara penipuan atas-talian boleh berlaku: penipu menyamar sebagai pembeli dan sebagai penjual.

Berikut adalah modus Operasi biasa diguna penipu:

Mangsa = PembeliMangsa = Pembeli
Suspek/penjual tawar barangan pada harga sangat rendah – tawaran tidak masuk akal.
Mangsa/penjual iklankan barangan untuk jualan. 
Mangsa/pembeli menghubungi suspek berkaitan barangan dan dipaksa membuat pembayaran segera kerana kononnya tawaran itu hanya untuk masa terhad.
Suspek/pembeli mendakwa dari luar negara dan menyatakan minat membeli banyak unit barangan tersebut, kemudian kemukakan resit palsu menunjukkan jumlah lebih besar daripada harga asal dimasukkan ke dalam akaun mangsa.
Mangsa buat pembayaran tetapi barang tidak dihantar seperti dijanjikan.
Suspek meminta penjual memulangkan jumlah bayaran yang terlebih dengan segera. Mangsa tergesa-gesa membuat pembayaran tanpa memeriksa jika jumlah itu benar-benar telah dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Sebenarnya, penipuan berlaku di mana-mana sahaja. Mereka boleh memikirkan pelbagai cara untuk menipu dan memberikan penjelasan yang begitu menyakinkan supaya anda kekal berminat, malahan membuat permintaan yang aneh tetapi masih wajar.

Jadi, melainkan anda mahu mengelak transaksi atas talian selamanya, risiko akan sentiasa ada dan kita hanya perlu mengamalkan sikap berwaspada yang tinggi dengan elemen syak wasangka. Gunakan sebarang atau semua ciri-ciri keselamatan bagi mengelak diri anda terjebak ke dalam perangkap penipuan. 

Jika anda mengesyaki diri anda telah menjadi mangsa scam, anda boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 (0800 – 2000) atau hotline (24/7) dan membuat laporan polis di mana-mana balai polis.

Komen