Carian
Ketahui Fungsi Di Sebalik Program Cucian Yang Tersedia Pada Mesin Basuh
November 9, 2023 Lina Rosli

Jika anda perasan pada mesin basuh anda, terdapat beberapa pilihan program yang tersedia untuk anda gunakan. Kesemua program ini telah ditetapkan mengikut jenis putaran yang akan dilakukan, jumlah air, suhu dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, pilihan program ini juga hadir dengan waktu cucian yang berbeza yang mana biasanya program quick akan tamat lebih awal berbanding program normal.

Ketahui Program Cucian Pada Mesin Basuh

Untuk mengetahui perbezaannya, Tajria hari ini ingin berkongsi kepada anda perbezaan di antara program yang tersedia dan memilih program mana yang paling sesuai untuk cucian anda.

Berikut adalah beberapa senarai program cucian yang biasa terdapat pada mesin basuh di rumah:

Program: Normal

Untuk cucian normal ini biasanya melibatkan kitaran atau cucian asas seperti kain kapas dan linen.

Kitaran ini menggabungkan program mencuci dan putaran berkelajuan tinggi yang mana hanya sesuai untuk baju-baju atau pakaian yang tahan lasak dan juga sangat kotor seperti tshirt dan tuala, seluar jeans dan banyak lagi.

Elakkan mencuci kain tudung atau pakaian dengan aksesori yang mudah tertanggal menggunakan program ini.

Jenis cucian: Cucian yang tahan lasak seperti pakaian harian biasa dan juga tuala ataupun cadar katil

Program: Eco

Untuk kitaran Eco, ia dioptimumkan secara ekonomi dengan fokus untuk menjamin prestasi pencucian maksimum dengan penggunaan tenaga dan air yang minimum.

Berbanding kitaran normal, kitaran Eco dilihat hadir dengan kitaran masa yang lebih lama iaitu sekitar 60 hingga 80 minit. Ia sangat sesuai untuk pakaian yang tidak terlalu kotor dan tidak mudah turun warna.

Jenis cucian: Pakaian yang tidak begitu kotor dan sesuai untuk cucian ringan sehingga sederhana. Tidak sesuai untuk membasuh jeans atau pakaian yang mudah luntur

Program: Delicates Atau Silk Delicates

Program ini bersesuaian jika anda ingin mencuci fabrik halus seperti sutera, satin dan viscose. Kain akan dicuci pada kelajuan yang sangat rendah.

Ia juga dikatakan setara dengan cucian tangan selain mempunyai waktu kitaran cucian terpendek dan paling lembut.

Jenis cucian: Fabrik halus seperti sutera, satin dan viscose. Kebiasaannya anda boleh mencuci tudung, shawl, baju kerja yang diperbuat daripada kain chiffon serta pakaian dengan aksesori yang mudah tertanggal.

Program: Wool

Program wool ini disediakan untuk mencuci pakaian berbulu pada kitaran yang optimum. Ia menawarkan tindakan mencuci lembut pada suhu optimum 30 darjah Celsius.

Putaran lembut pada akhir kitaran mengeluarkan air dengan lembut, yang membantu pakaian mengekalkan bentuknya.

Jenis cucian: Fabrik seperti tuala dapur, jaket atau baju knitted yang senang tertanggal jahitannya.

Program: Quick

Ia melibatkan cucian yang ringan dengan waktu yang pendek iaitu sekitar 15 hingga 30 minit. Ia sesuai untuk cucian ringan yang tidak melibatkan kotoran degil yang sukar untuk ditanggalkan.

Jenis cucian: Ia seakan cucian delicate, yang mana mempunyai masa yang lebih pendek. Namun, ia sesuai untuk cucian pakaian jenis kapas seperti pakaian harian biasa dan juga tuala ataupun cadar katil

Program: Jeans

Untuk program jeans ini, ia direka khas untuk mencuci kain gelap yang diperbuat daripada kain kapas atau campuran termasuk seluar jeans. Cucian ini menggunakan suhu rendah untuk rawatan warna dan kain yang sangat lembut.

Jika anda memilih cucian ini, sebaiknya anda menggunakan pencuci cecair untuk tidak meninggalkan kesan sabun pada pakaian.

Program: Heavy

Program ini sesuai untuk melakukan cucian berat seperti tuala dan seluar jeans. Ia juga sesuai untuk barang yang sangat kotor. Kitaran ini menawarkan kitaran pencucian yang lebih lama dengan pengadukan dan putaran berkelajuan tinggi untuk menghilangkan kelembapan sebanyak mungkin.

Berikut adalah beberapa program cucian yang selalu ada pada kebanyakan mesin basuh. Pemilihan program yang bersesuain dapat memastikan dan mengurangkan risiko pakaian anda rosak selain menjimatkan masa dan penggunaan sabun yang berlebihan.

Sebelum anda mula membasuh,  pastikan anda mengasingkan baju mengikut jenis agar mudah untuk anda memilih program yang tersedia. Selain itu, pastikan anda tidak memasukkan baju di mesin secara berlebihan kerana ia mungkin tidak akan dapa mencuci dengan betul.

Komen