Carian
Tsutaya Bookstore Kini Dibuka Di Intermark Mall KL – Turut Menampilkan Kafe Di Dalam Kedai Buku
October 27, 2023 Lina Rosli

Selepas lebih setahun pembukaan Tsutaya Books di Pavilion Bukit Jalil, kini jenama kedai buku Jepun ini hadir dengan cawangan ke-2 di Malaysia yang terletak di Intermark Mall Kuala Lumpur.

Memilih Intermark Mall sebagai lokasi terbaru, Tsutaya Bookstore ini sudah membuka pintu mereka yang terletak di aras 1, Lot 1-11, 1-12, 1-13, 1-14 dan 1-15.

Sama seperti di cawangan Bukit Jalil sebelum ini, Tsutaya Bookstore Intermark Mall menampilkan pelbagai penawaran buku dan beberapa seksyen lain seperti kafe, sastera, kemanusiaan, komik, bahasa, kanak-kanak, kelengkapan gaya hidup, makanan, seni, pelancongan, majalah dan gaya kerja.

Apabila anda masuk sahaja ke dalam Tsutaya Bookstore ini, anda akan melihat susunan buku yang rapi dan mengikut kategori bagi memudahkan anda untuk terus berkunjung ke seksyen atau rak yang menawarkan keperluan anda.

Menjadikan suasana di kedai buku ini lebih tenang dan minimalis, Tsutaya Books mempersembahkan rekaan ala-ala Japandi yang menggabungkan garis halus dan moden Scandinavia bersama keanggunan estetika Jepun. Jika anda mendongak ke atas siling, ia menampilkan cermin yang membantu memantulkan imej bagi menampakkan ruang yang lebih luas dan kemas.

Di kafe Tsutaya Bookstore, pelbagai minuman yang ditawarkan termasuklah minuman artisanal, jus buah, teh, lemonade dan pelbagai lain.

Jadi, bagi anda yang berminat untuk berkunjung ke Tsutaya Bookstore Intermark Mall, jangan ketinggalan untuk menikmati pelbagai aktiviti menarik serta dapatkan juga kopi percuma dengan pembelian buku dengan nilai minima RM150 – tawaran sah 1 hari sahaja (27 Oktober).

Komen