Tahukah anda bahawa penyakit kardiovaskular atau CVD merupakan punca utama kematian di seluruh dunia?
Melalui laporan WHO, penyakit kardiovaskular dilihat telah meragut sekitar 17.0 juta nyawa setiap tahun. Dan apa yang mengejutkan adalah penyakit ini tidak hanya berlaku dalam kalangan orang tua sahaja, tetapi juga individu muda – sekitar umur 24 hingga 45 tahun.
Bagi yang tidak mengetahui, CVD ialah sekumpulan gangguan jantung dan saluran darah dan termasuk penyakit jantung koronari, penyakit serebrovaskular, penyakit jantung reumatik dan keadaan lain. Malah, lebih daripada empat daripada lima kematian CVD disebabkan oleh serangan jantung dan strok, dan satu pertiga daripada kematian ini berlaku secara pramatang pada orang di bawah umur 70 tahun.
Apakah Yang Menyebabkan Penyakit Kardiovaskular Berlaku?
Faktor utama yang menyumbang kepada masalah kardiovaskular atau penyakit jantung dan juga strok adalah disebabkan oleh:
- amalan diet dan pemakanan yang tidak sihat.
- kurang aktiviti fizikal
- genetik
- penggunaan tembakau dan penggunaan alkohol yang berbahaya
- amalan gaya hidup yang tidak sihat
Mengenal pasti mereka yang berisiko tinggi untuk CVD dan memastikan mereka menerima rawatan yang sesuai boleh mencegah kematian pramatang. Akses kepada ubat penyakit tidak berjangkit dan teknologi kesihatan asas di semua kemudahan penjagaan kesihatan primer adalah penting untuk memastikan mereka yang memerlukan menerima rawatan dan kaunseling.
Jenis-Jenis Penyakit Kardiovaskular Yang Perlu Anda Ketahui
Selain mengetahui faktor dan punca yang boleh menyebabkan berlakunya penyakit kardiovaskular ini, anda juga perlu mengetahui jenis-jenis penyakit bagi mengurangkan risiko isu menjadi lebih teruk atau dalam segelintir kes – boleh menjadi pembunuh senyap.
Berikut adalah jenis-jenis penyakit kardiovaskular yang perlu anda ketahui:
#1 Penyakit Jantung Koroner
Jenis penyakit ini, ia tergolong sebagai gangguan yang berlaku pada jantung dan pembuluh darah. Jenis penyakit kardiovaskular ini merupakan pembunuh nombor 1 yang menyebabkan kematian di dunia.
Keadaan ini berlaku apabila terdapatnya penyumbatan atau penyempitan pada pembuluh darah arteri koroner disebabkan oleh penumpukan plak.
Bagi yang tidak mengetahui, peningkatan plak ini biasanya disebabkan oleh tabiat atau amalan merokok yang konsisten sehingga menyebabkan ruang pembuluh darah arteri koroner menjadi sempit dan menyukarkan pergerakan darah ke jantung. Kesannya, tubuh akan mendapat cukup oksigen dan nutrisi penting yang dibawa oleh darah ke jantung.
#2 Arrhythmia
Arrhythmia atau lebih dikenali sebagai keadaan degupan jantung yang tidak konsisten merupakan keadaan di mana jantung tidak dpaat berfungsi di dalam keadaan yang normal.
Hal ini adalah disebabkan oleh aliran darah ke jantung terganggu dan tidak boleh disalurkan ke jantung dengan baik dan lancar. Sama seperti keadaan kardiovaskular yang lain, apabila oksigen dan nutrisi tidak disalurkan dengan baik, ia akan menyebabkan fungsi tubuh lain terganggu.
#3 Serangan Jantung
Secara umumnya, serangan jantung berlaku apabila satu atau lebih salurah arteri yang menjadi sempit dan ianya sekaligus menjejaskan bekalan darah kepada jantung.
Antara faktor-faktor utama termasuk pengumpulan kolesterol di dalam dinding arteri (proses Aterosklerosis). Harus diingatkan, tanda awal bagi serangan jantung yang boleh dilihat adalah seperti:
- sakit pada bahagian dada sebelah kiri
- keluar peluh yang dingin
- individu berasa tidak selesa atau badan tidak berfungsi dengan baik
- sukar untuk bernafas
- berasa pening dan sakit kepala
#4 DVT
Deep Vein Thrombosis (DVT) boleh berlaku disebabkan oleh pembentukan darah beku di dalam saluran vena. Secara amnya, pembekuan darah ini berlaku di kaki.
Dalam kes kritikal pula, apabila darah beku bergerak dan mengalir di dalam saluran darah, ia boleh memasuki paru-paru dan boleh menyebabkan pulmonary embolism. Penyumbatan pada saluran darah di dalam paru-paru ini boleh membahayakan nyawa jika tidak dirawat dengan baik oleh pasukan perubatan.
#5 Strok
Selain menyebabkan penyakit jantung, banyak penyakit kardiovaskular juga menyebabkan strok.
Strok ini boleh berlaku apabila saluran darah yang membekalkan darah ke otak menjadi tersumbat. Jika bekalan darah ke otak terputus, sel-sel di otak akan rosak dan mati. Kemudian, anda boleh mengalami saluran darah pecah atau saluran darah tersumbat.
Gangguan saluran darah ini boleh menyebabkan anda kehilangan keupayaan untuk bercakap dan menyebabkan anda tidak dapat menggerakkan beberapa bahagian badan anda.
#6 Kardiomiopati
Kardiomiopati adalah penyakit otot jantung yang disebabkan oleh kelainan pada jantung.
Keadaan ini menyukarkan jantung untuk mengepam darah ke badan, dan boleh menyebabkan kegagalan jantung. Selain daripada keabnormalan jantung, kardiomiopati juga boleh disebabkan oleh faktor penyakit lain seperti hipertensi kronik, obesiti, diabetes, dan sebagainya.
#7 Penyakit Jantung Kongenital
Penyakit jantung kongenital adalah keadaan di mana keabnormalan berlaku pada struktur jantung semasa bayi masih dalam kandungan. Namun, ada juga yang hanya menunjukkan tanda-tanda kelainan jantung selepas lahir atau ketika masih kanak-kanak.
Simptom biasa penyakit jantung kongenital ini ialah penampilan kebiruan pada muka kanak-kanak apabila dia menangis. Walaupun ia boleh dikesan dengan bantuan doktor menggunakan stetoskop, jenis penyakit kardiovaskular di atas merupakan penyakit yang paling biasa ditemui dalam masyarakat.