Perodua Bezza Adalah Model Kereta Yang Paling Laris Di Malaysia

November 2, 2023
Uncategorized

Lina Rosli

Berdasarkan laporan yang dikongsikan pada Data.gov, ia memperlihatkan bahawa model kenderaan dari Perodua iaitu Bezza adalah kenderaan pilihan kebanyakan individu di Malaysia dengan bilangan kenderaan yang berdaftar sebanyak 56,735 unit.

Selain daripada Bezza, antara model kenderaan lain yang juga digemari oleh pemandu di Malaysia termasuklah Perodua Myvi (45,041 unit), Perodua Axia (44,722 unit), Proton Saga (44,696 unit) dan Perodua Alza (23,390 unit).

Di dalam senarai 10 model kenderaan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia, ia memperlihatkan beberapa jenama pengeluar kenderaan iaitu Perodua, Proton, Honda dan juga Toyota.

Namun, jenama yang mendominasi carta adalah Perodua iaitu 5 daripada 10 model kenderaan dan juga Proton (3 daripada 10 model kenderaan).

Untuk Perodua sahaja, jumlah kenderaan berdaftar bagi jenama berkenaan adalah sebanyak 204,229 unit. Manakala Proton pula sebanyak 102,800 unit – iaitu 50% lebih rendah berbanding jenama Perodua.

Untuk pengetahuan anda, sekadar perbandingan, jumlah jualan Perodua Bezza dilihat meningkat tinggi pada tahun 2022 dan mengalami sedikit sahaja penurunan pada tahun 2023. Manakala, untuk Perodua Axia dan juga Perodua Myvi, sepanjang 5 tahun jualan kenderaan mereka, mereka mempunyai jumlah jualan yang lebih tinggi. Namun dari tahun ke tahun, disebabkan jumlah permintaan yang tidak konsisten, ia sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada jualan mereka.

Mengapa Perodua Menjadi Pilihan Pengguna Di Malaysia?

Secara umumnya, syarikat Perodua dilengkapi dengan kenderaan yang berbeza-beza yang dapat menarik pembeli terutamanya yang mahukan kenderaan yang berpatutan disamping hadir dengan penawaran yang cekap. 

Perodua kebanyakannya menyasarkan kepada individu yang baru bekerja atau keluarga yang ingin membeli kereta berkualiti dengan harga berpatutan.

Selain dari penawaran harga yang rendah, kebanyakan model Perodua seperti Axia, Bezza dan Myvi juga hadir dengan teknologi yang dapat menjimatkan bahan api. Bagi pengguna atau pemandu yang mempunyai jarak perjalanan harian yang jauh, sudah tentu kenderaan yang menawakan kos penggunaan bahan api yang rendah lebih menjadi pilihan berbanding yang lain.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd