Bagaimana Cara Untuk Membezakan Kulit Kepala Kering Dan Kelemumur?

November 8, 2023
Gaya Hidup

Lina Rosli

Kebanyakkan individu sering keliru antara dua masalah yang berlaku pada kulit kepala dan rambut mereka – iaitu kulit kepala kering dan kelumumur.

Dan apabila kekeliruan ini berlaku, sudah tentu cara mengatasinya dan produk yang perlu digunakan untuk mengurangkan risiko ia berlarutan turut salah.

Bukan sekadar itu, terdapat segelintir individu juga turut mneggunakan produk untuk kulit kepala kering dan kelemumur secara bergantian kerana mereka mempunyai simptom yang sama, namun hakikatnya, mereka adalah dua keadaan berbeza yang turut mempunyai pelan rawatan yang berbeza.

Untuk mengetahui punca atau isu yang menyebabkan masalah pada kulit kepala, adalah penting anda mengetahui perbezaan antara kulit kepala kering dan kelemumur. Dan sekiranya anda telah mengenal pasti kedua-duanya, melaluinya anda boleh mendiagnosis dan merawat keadaan anda dengan betul.

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Kulit Kepala Kering?

Walaupun “kulit kepala kering” tidak perlu diagnosis melalui perubatan, ia adalah keadaan biasa yang dicetuskan oleh segala-galanya yang anda lakukan pada kulit kepala anda seperti mencuci rambut dan kepala secara berlebihan ataupun menggunakan produk penjagaan rambut yang keras.

Dalam sesetengah kes, ia juga boleh menandakan keadaan perubatan yang mendasari seperti psoriasis, dermatitis kontak, ekzema atau selaran matahari.

Kerengsaan akan menghasilkan simptom yang sama seperti kelemumur biasa iaitu gatal-gatal dan mengelupas, tetapi penting untuk diperhatikan bahawa kulit kepala yang kering disebabkan oleh ketidakupayaan kulit kepala untuk menghasilkan sebum dan minyak semulajadi yang mencukupi.

Apabila kulit kepala kekurangan lembapan, ia menjadi terlalu kering dan membawa kepada penumpukan kulit mati.

Apa Itu Kelemumur?

Sebaliknya, dermatitis seborrheic atau nama biasanya kelemumur adalah keadaan keradangan kulit kepala yang dikaitkan dengan pertumbuhan berlebihan bakteria yang tidak berbahaya. Walaupun kulit kepala kering disebabkan oleh kekurangan kelembapan, kelemumur dicetuskan oleh pengeluaran minyak yang berlebihan.

Kelemumur dicirikan melalui tindakbalas mengelupas dan kemerahan disebabkan olek bakteria yang dikenali sebagai Malassezia. Bakteria ini memakan sebum dan disebabkan itu, ia tumbuh subur di kawasan berminyak.

Faktor-faktor yang menyebabkan kelemumur termasuklah genetik, tekanan, diet, dan ubat-ubatan tertentu seperti interferon dan litium.

Bagaimana Mengenalpasti Kulit Kepala Kering vs Kelemumur?

Walaupun kelemumur dan kulit kepala kering mempunyai simptom yang hampir sama, pakar mengatakan terdapat beberapa petunjuk yang membezakannya.

Untuk pengetahuan anda, sekiranya kulit kepala anda memperlihatkan tompokkan dan bintik putih, ia biasanya adalah berpunca dari kulit kepala yang kering. Manakala kelemumur menampilkan kepingan sel berwarna kuning.

Bagi memudahkan anda membezakan kedua-dua keadaan ini, kelemumur disebabkan lebihan minyak menyebabkan sel-sel kulit mati mikroskopik melekat bersama dan menjadi gumpalan. Sebaliknya, untuk kulit kepala kering, kepingan yang dihasilkan adalah lebih kecil dan mudah jatuh seperti zarah habuk kecil.

Cara Merawat Kulit Kepala Kering

Sekiranya anda ingin mengatasi masalah kulit kepala kering, jenis produk yang perlu anda cari adalah produk lembut yang mengandungi bahan-bahan yang menenangkan.

Kekerapan mencuci tidak dinafikan boleh memburukkan lagi masalah itu—sebab itu penting untuk mencuci dengan berhati-hati dan hanya menggunakan produk penjagaan rambut yang menghidratkan.

Jauhi syampu yang mengandungi ammonium lauryl sulfate dan ammonium laureth sulfate. Sebaliknya, pilih formula yang diselitkan dengan bahan penghidratan seperti asid hyaluronik.

Jika anda menggunakan banyak produk penggayaan rambut, buat masa ini mungkin anda perlu menghentikan penggunaannya sementara untuk mengelakkan dermatitis kontak. Sesetengah bahan kimia yang terdapat dalam gel penggayaan, semburan dan krim boleh merengsakan, jadi cuba uji patching pada kulit anda sebelum menyapunya ke seluruh kulit kepala anda.

Selain itu, suhu juga boleh menjadi punca utama kekeringan, jadi beri perhatian kepada pendedahan matahari yang berlebihan. Ini boleh menyebabkan kulit kepala kering, dan lebih teruk lagi boleh menyebabkan selaran matahari yang akan menyebabkan kulit kepala anda mengelupas. Untuk mengatasinya, sapukan pelindung matahari pada kulit kepala anda – ada produk yang terdapat dalam serbuk untuk penggunaan yang mudah.

Cara Merawat Kelemumur

Untuk kelemumur, apa yang boleh lakukan adalah mengurangkan tindak balas keradangan dengan cara mencari bahan yang bersifat antikulat dan antimikrob seperti selenium sulfida, zink pyrithione, ketoconazole dan ekstrak minyak pokok teh.

Pakar turut menyarankan untuk menambah produk yang mengandungi asid salisilik bagi membantu mengurangkan kerak pada kulit kepala.

Jika anda masih tidak melihat peningkatan selepas beberapa minggu, berunding dengan pakar dermatologi yang boleh menetapkan ubat topikal atau oral yang lebih kuat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd