Tidak hanya boleh berlaku dalam kalangan orang dewasa sahaja, sebenarnya kanak-kanak juga turut boleh terdedah kepada penyakit diabetes.

Menurut Perunding Endokrinologi Pediatrik di IMU Healthcare dan Pensyarah Kanan dalam Pediatrik di Universiti Perubatan Antarabangsa, Dr Meenal Mavinkurve, penyakit diabetes dalam kalangan kanak-kanak ini tergolong di bawah kategori melitus diabetes.

Disebabkan penyakit diabetes dalam kalangan kanak-kanak ini tidak terlalu diperkatakan oleh kebanyakan individu, cara penerimaan para ibu bapa dan keluarga boleh dikatakan agak berbeza – jika dibandingkan dengan penghidap diabetes yang lebih berusia.

Apakah Melitus Diabetes?

Sebelum berbincang lebih lanjut tentang diabetes dalam kalangan kanak-kanak ini, mari kita lihat terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan melitus diabetes.

Untuk pengetahuan anda, melitus diabetes adalah penyakit berkisar tentang insulin, sejenis hormon penting yang dikeluarkan organ pankreas. Insulin memainkan peranan penting untuk mendapatkan glukosa, yang merupakan satu sumber tenaga, ke dalam sel-sel kita.

Melitus diabetes adalah keadaan di mana kurangnya insulin dalam tubuh individu ataupun keadaan yang mana individu mengalami rintangan insulin. Kedua-dua keadaan ini boleh membawa kepada paras glukosa yang tinggi dalam aliran darah.

Jenis melitus diabetes paling biasa di kalangan kanak-kanak adalah Jenis 1 (iaitu kekurangan insulin, atau T1DM) dan Jenis 2 (rintangan insulin, atau T2DM).

T1DM adalah keadaan autoimun, di mana badan menghasilkan antibodi yang memusnahkan sel-sel beta di dalam pankreas. Sel-sel itulah yang bertanggungjawab menghasilkan insulin. Keadaan T2DM pula, badan masih boleh menghasilkan insulin, tetapi insulin kurang bertindak.  

Gejala Dan Tanda Melitus Diabetes

Gejala biasa untuk individu yang mengalami melitus diabetes adalah merangkumi 4T, iaitu:

  • dahaga (thirsty)
  • kerap ke tandas (toilet)
  • lebih kurus (thinner)
  • mudah letih (tired)

Terlalu dahaga, kerap membuang air kecil, mudah terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil adalah gejala penting yang perlu diberi perhatian pada kanak-kanak, kerana ia mungkin isyarat diagnosis diabetes.

Kanak-kanak juga boleh mengalami jangkitan (jangkitan kulat), penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau kegagalan untuk menambah berat badan walaupun lapar.

Oleh itu, penting bagi ibu bapa untuk meminta doktor memantau berat badan anak mereka dan menyimpan rekodnya, tidak kira sama ada anak mereka sakit atau tidak. Ini kerana pertumbuhan adalah isyarat yang baik mengenai kesihatan kanak-kanak.

Sekiranya anda mendapati adanya gejala dan tanda-tanda itu, bersegeralah berjumpa doktor. Ibu bapa perlu bertanya kemungkinan adanya diabetes dan sama ada ujian glukosa dan keton perlu dilakukan.

Kesedaran Tentang Diabetes Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Salah satu langkah penting yang boleh membawa kepada diagnosis diabetes lebih awal adalah kesedaran bahawa melitus diabetes adalah penyakit yang boleh dihidapi kanak-kanak juga dan pengenalan awal setiap gejala boleh membantu diagnosis dan rawatan awal.

Jika gejala-gejala tersebut tidak dikesan dari awal, ia boleh melarat dan menjadi lebih teruk dengan gejala muntah, kelesuan, sesak nafas dan sakit perut. Ia juga merupakan gejala-gejala ketoasidosis diabetik (DKA), sejenis diabetes yang kronik.

Kajian terbaharu oleh Mavinkurve pada tahun 2021 menerusi laporan ‘Is Misdiagnosis of Type 1 Diabetes Mellitus in Malaysian Children a Common Phenomenon?, ia menunjukkan kadar salah diagnosis di kalangan kanak-kanak Malaysia dengan T1DM ialah 38.7 peratus.

Dalam kajian ini, dilaporkan bahawa kanak-kanak biasanya didiagnosis secara salah – sering diletak di dalam kategori penyakit pernafasan atau gastrousus (bukan diabetes) oleh profesional penjagaan kesihatan.

Bukankah ini suatu perkara yang merisaukan? Oleh itu, selain daripada ibu bapa, para pakar kesihatan juga seharusnya celik tentang kebarangkalian kanak-kanak menghadapi diabetes juga adalah tinggi.

Bagaimana Mengurus Kanak-Kanak Penghidap Diabetes?

Sejurus disahkan menghidap T1DM, ada banyak tugasan baharu yang perlu dipelajari dan dilakukan untuk anak itu sepanjang hidupnya.

Kanak-kanak penghidap diabetes juga masih boleh terlibat dalam penjagaan diabetes dengan melakukan perkara mudah seperti menyediakan barangan pemeriksaan glukosa dan seterusnya pemeriksaan glukosa tanpa pengawasan apabila sudah lebih berdikari. Kanak-kanak bersekolah juga perlu belajar cara menyuntik insulin sendiri.

Harus diingatkan menghidap diabetes bukan bermakna tidak boleh langsung mengambil benda manis dan bergula dalam diet. Semuanya mengenai kesederhanaan dan mengikuti diet sihat sama seperti kanak-kanak lain yang tidak menghidap diabetes.

Namun begitu, kanak-kanak penghidap diabetes perlu mengira jumlah karbohidrat di dalam makanan manis yang mereka makan dan menyuntik insulin untuknya. Bagi kanak-kanak penghidap T2DM yang obes atau dengan berat berlebihan, perlu lebih penekanan kepada menghadkan pilihan makanan padat kalori. 

Sesetengah ibu bapa akan memberi anak mereka makanan ‘bebas karbohidrat’ untuk mengelak pemberian insulin. Namun begitu, ia tidak digalakkan kerana saranannya adalah untuk kanak-kanak ini mengambil makanan sihat yang seimbang.