Carian
ZUS Coffee Telah Menyediakan Sebanyak 50 Juta Cawan Sepanjang 4 Tahun Beroperasi
November 7, 2023 Lina Rosli

Menjadi antara jenama minuman kopi yang paling berkembang pesat, ZUS Coffee kini meraikan ulang tahun mereka yang ke-4 – beroperasi sejak 2019.

Bermula dengan pembukaan cawangan pertama ZUS Coffee di Binjai 8 Condominium Kuala Lumpur, jenama ini telah berjaya membuka lebih 307 cawangan yang boleh diakses di seluruh Malaysia termasuk Sabah.

Selari dengan perkembangan dan perluasan jenama, ZUS kini tidak hanya memfokuskan kepada penjualan di kedai kopi mereka sahaja, tetapi juga mula menawarkan beberapa produk lain minuman dalam botol dan yang terbaru adalah minuman yang sedia bancuh – pek mudah alih untuk menu Caramel Latte dan Cafe Latte.

Sepanjang beroperasi selama 4 tahun ini juga, ZUS Coffee kini telah berjaya menyediakan dan menghantar sekitar 50,324,032 cawan minuman kepada ZUSsies. Ini sekaligus menjadikan misi mereka dalam menyampaikan kopi istimewa sebagai keperluan harian untuk semua nikmati telahpun tercapai.

Dan antara penawaran minuman yang paling memberi impak kepada kuantiti jualan mereka termasuklah ZUS Buttercreme yang berjaya terjual hampir lebih 500,000 cawan dan juga ZUS Kopi Cham yang terjual lebih dari 200,000 cawan.

Untuk pengetahuan anda, pada September 2023, jenama ZUS telah memperkenalkan sebuah perkampungan di Rumah Tangsi KL iaitu Kampung Buatan Malaysia. Menurut ZUS, pengenalan ini selari dengan komitmen mereka dalam membawa jenama-jenama tempatan untuk terbang tinggi ke persada dunia.

Bersama-sama dengan ZUS Coffee, terdapat beberapa lagi jenama yang turut serta untuk membuktikan bahawa jenama dan produk Buatan Malaysia adalah jenama yang cukup hebat sama seperti jenama antarabangsa seperti Farm Fresh, Inside Scoop, Julie’s, SYOK dan BOH. 

ZUS Coffee juga turut menampilkan beberapa kolaborasi menarik sepanjang tempoh ini seperti Santan, Pepsi, Julie’s dan banyak lagi.

Bagi anda yang belum pernah mencuba kopi dari ZUS Coffee, mula lakukan pesanan hari ini sama ada pembelian terus di kedai fizikal ataupun secara atas-talian menerusi aplikasi ZUS Coffee, GrabFood, FoodPanda dan ShopeeFood.

Muat-turun: Aplikasi ZUS di App Store atau Play Store

Komen