Ayuwan Memperkenalkan Tudung Fotokromik Pertama Di Dunia – Memperlihatkan Corak Apabila Di Bawah Sinar UV

November 8, 2023
Fesyen

Lina Rosli

Pada masa kini, sebut sahaja tudung apa yang anda inginkan. Hampir kesemuanya ada dan telahpun ditawarkan di pasaran. Ada tudung yang tidak perlu digosok, ada tudung untuk bersukan, ada tudung yang senang dibentuk dan banyak lagi.

Dan yang terbaru, Ayuwan, sebuah jenama tudung dan skarf tempatan yang berasal dari Johor ini mula memperkenalkan tudung fotokromik pertama di pasaran – dinamakan sebagai koleksi Gemala.

Bagi yang tidak mengetahui, tudung fotokromik adalah tudung yang menampilkan coraknya hanya apabila berada di bawah sinar UV. Dan corak tersebut akan pudar apabila berada di dalam bangunan.

Serba sedikit mengenai teknologi fotokromik ini, ia adalah fenomena dimana sejenis unsur bahan tertentu boleh berubah apabila disinari dengan cahaya. Selepas itu, warna dan kepadatan berubah tanpa mengubah berat molekulnya, dan kembali ke keadaan asal apabila cahaya dihalang.

Menarik bukan? Selain koleksi Gemala, terdapat beberapa lagi koleksi lain yang ditawarkan oleh Ayuwan. Ini termasuklah koleksi Desa, Spora, Pancawarna dan Birai. Untuk kesemua koleksi Ayuwan juga, mereka komited dalam menghasilkan tudung berkualiti tanpa mengetepikan rekaan dalam menuruti trend semasa.

Selari dengan pengenalan koleksi tudung baharu juga, Ayuwan turut berbesar hati mengumumkan usaha samanya dalam melantik penyanyi bervokal lantang, Ernie Zakri sebagai duta jenama rasminya. Ini sekaligus melayangkan era baharu buat jenama dengan mempertaruhkan himpunan rekaan yang sofistikated dalam memperkasakan fesyen Muslimah tempatan.

Terokai dunia Ayuwan yang anggun lagi bergaya di www.ayuwan.com.my

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd