Nothing Apparel Akan Diperkenalkan – Memperlihatkan Koleksi Pakaian Klasik Dengan Rekaan Minimalis

November 10, 2023
Fesyen

Fahim

Baru-baru ini, Nothing telah hadir dengan beberapa pengumuman menarik berkenaan dengan perancangan jenama mereka. Ini termasuk pengenalan kategori produk terbaru iaitu Nothing Apparel.

Memfokuskan kepada koleksi pakaian ala-ala streetwear yang kini sohor kini dalam kalangan gen Z, Nothing Apparel memperlihatkan beberapa penawaran koleksi pakaian yang pelbagai termasuk – kot, topi, sut balapan (tracksuit), baju hud tebal dan banyak lagi.

Berdasarkan perkongsian Nothing juga, untuk setiap koleksi Nothing Apparel, jenama ini akan mengutamakan kelestarian yang mana mereka akan menggunakan bahan untuk fabrik organik seperti kapas organik. Selain itu, Nothing Apparel juga turut mengurangkan kadar pelepasan karbon dengan menggunakan semula plastik yang telah dikitar semula dari laut selain turut akan memperkenalkan pek pembungkusan mesra alam.

Tambah Nothing lagi, mereka telah bekerjasama dengan pakar dalam industri fesyen bagi menjayakan koleksi pakaian ini. Dengan ini, setiap pakaian mereka dijangka akan sesuai dipakai sewaktu bekerja ataupun sepanjang menjalani aktiviti harian.

Buat masa ini, tiada butiran lanjut tentang tarikh rasmi untuk penawaran koleksi Nothing Apparel di Malaysia. Tetapi ia dijangka akan ditawarkan secara eksklusif di kedai fizikal Nothing Store Soho, London dan beberapa pasaran terpilih termasuk Malaysia secara atas talian tidak lama lagi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd