Carian
Apakah Warna Bunga Pokok Kopi? Adakah Bunga Pokok Kopi Juga Mempunyai Aroma Kopi?
November 14, 2023 Lina Rosli

Pernahkah anda tertanya-tanya jika bunga untuk pokok kopi juga mempunyai aroma yang sama seperti kita bau pada secangkir kopi panas?

Untuk pengetahuan anda, sebenarnya bunga pokok kopi tidak sama sekali mempunyai aroma yang sama dengan ceri kopi (buah kopi – sebelum ia diproses menjadi biji kopi). Sama seperti kebanyakan pokok yang lain, pokok kopi juga mempunyai bunga yang indah dan mekar apabila mereka berada di fasa matang.

Secara umumnya, bunga untuk pokok kopi berbau sedikit seperti bunga sitrus yang mana ia mengeluarkan aroma yang menyenangkan, manis, lembut dan juga segar. Malah, kadangkala, ada pengeluar yang mengeluarkan wangian bunga kopi yang diproses dan digunakan dalam bentuk minyak wangi mewah dan produk mandian.

Bunga pokok kopi biasanya muncul beberapa hari hingga beberapa minggu selepas musim hujan dan hanya akan bertahan selama beberapa hari sahaja sebelum layu dan gugur dari dahan untuk memberi ruang kepada ceri kopi tumbuh. Jika di sesetengah ladang, pokok bunga kopi biasanya mekar antara akhir Februari dan Mei.

Bukan itu sahaja, pokok ini juga hanya akan ada sekitar 1 hingga 2 bunga besar dalam tempoh itu dan beberapa bunga kecil di antaranya.

Apakah Warna Bunga Pokok Kopi?

Warna bunga kopi ini bergantung kepada jenis kopi. Ada sesetengah pokok menghasilkan bunga berwarna putih, dan adakalanya berwarna merah jambu.

Bunga kopi berkembang dalam tujuh peringkat unik. Pertama, tunas kopi hijau berkembang dalam kelompok kecil di sepanjang nod setiap cabang pokok kopi. Dalam beberapa hari, gugusan tunas hijau menjadi putih dan mula memanjang. Selepas beberapa hari, tunas ini akan mencapai peringkat lilin, di mana bunga kopi masih tertutup tetapi hampir bersedia untuk mekar.

Setelah bunga kopi mekar, ia hanya dibuka untuk sehari dua sebelum layu dan gugur dari dahan. Apabila bunga layu, mereka telah mencapai akhir tempoh pendebungaan mereka. Apabila bunga itu jatuh dari pokok, ia meninggalkan karpel kecil yang kelihatan seperti kepala jarum kecil berwarna hijau.

Dalam masa kira-kira 6 hingga 7 bulan, karpel kecil ini akan bertukar menjadi ceri kopi dengan satu atau dua biji di dalamnya akan menjadi kopi.

Komen