Terdapat beratus-ratus jenis pasta yang diperkenalkan di pasaran seperti Linguini, Ravioli, Penne, Rigatoni, Farfalle, Fusilli dan Cannelloni. Perbezaan ini biasanya melibatkan saiz dan cara masakannya kerana bagi setiap jenis pasta ini, ia mempunyai tujuan yang berbeza.
Bentuk pasta yang tertentu akan disesuaikan mengikut jenis sos yang berbeza. Sebagai contoh, pasta nipis sesuai dimasak menggunakan sos yang nipis atau tidak pekat, manakala sos yang lebih pekat berfungsi lebih baik dengan pasta yang lebih tebal dan berat.

Kenalpasti Jenis Pasta Dan Sediakan Sos Pasta Yang Bersesuaian
Secara umumnya, pasta dibahagikan di dalam 2 kategori utama: panjang atau pendek. Sementara di dalam jenis utama tersebut pula terdapat banyak subkategori lain seperti pasta yang berbentuk rata, tiub, kepingan, licin, bergerigi, tebal, nipis dan kecil.
Sebaik sahaja anda telah memutuskan sos yang anda ingin buat, tanya diri anda sama ada ia sesuai dengan pasta panjang atau pendek, kemudian perhalusi pilihan berdasarkan sama ada sos anda adalah homogen atau mengandungi ciri berketul-ketul yang boleh menjejaskan penyediaan pasta sewaktu di peringkat akhir.

Sebagai contoh, sos yang berminyak, berkrim dan mudah melekat lebih baik pada pasta yang panjang, manakala bentuk pasta yang pendek seperti tiub atau cangkerang lebih sesuai untuk sos di mana kepingan daging atau sayur-sayuran boleh bersarang di dalamnya.
Mengapa Masyarakat Itali Tidak Mematahkan Pasta Ketika Merebusnya?
Bagi kebanyakan budaya pemakanan di Asia, mi akan disedut terus dari mangkuk dan dipotong menggunakan gigi.
Tetapi untuk pasta, cara pemakanannya pula akan terlebih dahulu digulung pada garpu dan barulah ia dimakan. Oleh sebab itu, jika anda mematahkan pasta panjang kepada separuh, anda akan mempunyai helai yang lebih pendek yang menyukarkannya untuk dimakan.

Bukan itu sahaja, bagi memastikan pasta dapat digulung dengan baik, ia juga haruslah dimasak sehingga al dente. Ia bagi memastikan gulungan pasta tidak patah ketika dililitkan pada garpu. Hal ini biasanya terjadi jika ia terlebih masak kerana apabila anda memasaknya terlalu lama, pasta akan menjadi terlalu kembang.
Sementara jika ia tidak mencapai waktu masak yang ditetapkan pula, pasta akan terasa lebih keras dan menyukarkan anda untuk menggigit dan mengunyahnya.