Carian
Berhenti Merokok Boleh Mengurangkan Risiko Menghidap Penyakit Diabetes Jenis 2 – Sekitar 30% Hingga 40%
November 16, 2023 Lina Rosli

Sudah banyak anda lihat di paparan-paparan umum yang menyatakan tentang bahaya merokok. Ini termasuklah merokok dibuktikan menerusi kajian sebagai antara punca terjadinya penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, kanser dan lain-lain. Malah, dalam dapatan lain, merokok juga turut dikaitkan dengan risiko menghidap diabetes.

Tidak dinafikan walaupun diabetes selalu dikaitkan dengan pengambilan gula yang tinggi, namun sekurang-kurangnya terdapat 12 insiden yang telah berlaku yang berpunca daripada aktiviti merokok.

Dalam satu ringkasan baharu yang dibangunkan bersama oleh WHO, Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Universiti Newcastle, mendedahkan bahawa berhenti merokok boleh mengurangkan risiko menghidap diabetes jenis 2 sebanyak 30 hingga 40%.

Tabiat merokok adalah antara faktor utama kekerapan diabetes jenis 2 dan perokok adalah 30% hingga 40% lebih tinggi untuk menghidap diabetes berbanding bukan perokok. Dalam kes yang lebih kompleks, pesakit diabetes yang juga seorang perokok dikatakan meningkatkan risiko kematian mereka dan komplikasi berkaitan lain seperti masalah amputasi, kegagalan buah pinggang dan buta penglihatan.

Secara umumnya, berhenti merokok bukan sahaja mengurangkan risiko diabetes jenis 2 tetapi juga meningkatkan pengurusan dan mengurangkan risiko komplikasi diabetes. Bukti menunjukkan bahawa merokok mempengaruhi keupayaan tubuh untuk mengawal paras gula darah sekaligus mendorong kepada masalah diabetes jenis 2.

Oleh yang demikian, Persekutuan Diabetes Antarabangsa amat menggalakkan orang ramai berhenti merokok untuk mengurangkan risiko diabetes dan, jika mereka menghidap diabetes adalah penting untuk mereka membantu mengelakkan komplikasi.

Komen