Selari dengan peningkatan permintaan minuman teh muriara (bubble tea) dalam kalangan rakyat Malaysia, Loob Holding, yang merupakan syarikat induk bagi jenama minuman Tealive, BaskBear dan Soul Brew telah melakukan langkah proaktif dalam menyediakan produk yang berkualiti.
Menurut Loob Holding, mereka telah membuka ladang tanaman pokok ubi kayu yang juga menempatkan kilang untuk penghasilan biji mutiara (boba) seluas satu ekar di Kapar, Selangor. Ia merupakan satu pelaburan besar dari syarikat berkenaan – mencapai nilai RM10 juta.

Tambah syarikat itu juga, pengenalan kilang penghasilan boba ini merupakan kerjasama mereka bersama rakan kongsi JV Zhejiang Boduo International Trade Co Ltd dan Shanghai Panfei International Trade Co Ltd yang telah menjadi pembekal sokongan rapat sejak pelancaran Tealive pada 2017.
Dengan kehadiran kilang ini di Malaysia, mereka menjangkakan akan menghasilkan sekitar 400 tan mutiara sebulan dan ini sekaligus menjadikannya antara kilang pengeluaran boba terbesar di negara ini.

Menurut Loob Holding, menerusi pembukaan kilang ini, mereka dapat mengawal keseluruhan proses pengeluaran – bermula daripada mendapatkan bahan terbaik hingga ke proses penghasilan boba untuk setiap cawan.
Bergerak ke hadapan, Loob Holding turut merancang untuk membuka lebih banyak lagi kilang penghasilan boba di beberapa lokasi lain – termasuk Filipina.