Carian
Apakah Bahan-Bahan Yang Terkandung Di Dalam MSG Keluaran Jenama Ajinomoto?
November 21, 2023 Lina Rosli

Baru-baru ini, Ajinomoto, sebuah jenama serbuk penambah perisa yang berasal dari Jepun telah berkongsi satu video ringkas yang berkongsikan tentang bahan-bahan yang digunakan bagi menghasilkan satu paket monosodium glutamate (MSG).

Bagi yang tidak mengetahui, MSG merupakan umami yang hadir dalam bentuk serbuk yang menghasilkan rasa kelima di dalam setiap hidangan makanan.

MSG ini digunakan secara meluas di Malaysia yang mana orang ramai akan menambahkan serbuk ini sama ada di dalam sos, sup dan banyak lagi makanan. Selain itu, MSG juga turut boleh digunakan sebagai pengganti separa untuk garam.

Di Malaysia, Kumpulan Ajinomoto atau Ajinomoto (Malaysia) Berhad merupakan pengeluar tunggal AJI-NO-MOTO® Monosodium Glutamat (MSG) yang mana ia telah wujud sejak tahun 1961. Ini membuatkan AMB memperoleh reputasi sebagai salah satu syarikat Jepun yang pertama di negara ini.

Asal Usul MSG – Bagaimana Proses Menghasilkan MSG?

Untuk pengetahuan anda, penawaran MSG ini bermula pada tahun 1908 yang mana seorang ahli biokimia Dr. Kikunae Ikeda, bertanya kepada isterinya soalan yang akan mengubah sejarah makanan: Apakah yang memberinya sup sayur dan tauhu rasa daging yang lazat?

Pada ketika itu, Puan Ikeda menunjuk ke arah rumpai laut kering yang dipanggil kombu, atau ikan kelp, yang digunakan untuk membuat dashi tradisional Jepun.

Diilhamkan dari hidangan ini, Dr. Ikeda mula hadir dengan ciptaan baharu dengan cara mengekstrak sebatian kristal, yang ternyata asid glutamat sehingga menghasilkan umami dalam bentuk yang mudah digunakan: MSG (monosodium glutamat).

Awalnya, MSG dihasilkan melalui hidrolisis gluten bagi mengekstrak protein gandum. Namun pada tahun 1930-an, telah berlaku peralihan untuk mengekstrak MSG yang didapati dari kacang soya. Manakala, pada tahun 1960-an pula, pengeluaran MSG berpindah ke penapaian bakteria tebu dan tanaman lain serupa dalam proses seperti cara keju dan yogurt dihasilkan.

Tahukah Anda Bahawa Ajinomoto Pernah Diiktiraf Sebagai Pemegang Sijil Halal Terbaik Di Malaysia – Pada Tahun 2021?

Pernah dahulu, terdapat desas-desus yang menyatakan bahawa Ajinomoto tidak mengandungi sijil halal dan mengandungi bahan-bahan tidak halal sewaktu proses pembuatannya.

Namun, ia terbukti salah kerana Ajinomoto pernah menerima Anugerah “Pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia Terbaik” di bawah Kategori Industri Besar oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), semasa Persidangan Halal Kebangsaan 2021.

Dan Ajinomoto juga turut berkongsi bahawa serbuk penambah perisa mereka, AJI-NO-MOTO Monosodium Glutamat diperbuat daripada bahan-bahan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti ubi kayu, tebu dan jagung.

Untuk pengetahuan anda juga, AJI-NO-MOTO tidak menghasilkan rasa manis walaupun diperbuat daripada bahan utama glukosa – ini disebabkan oleh proses pengeluarannya menukar gula kepada asid glutamat.

Bukan itu sahaja, AJI-NO-MOTO juga bukan garam yang memberikan rasa masin. Secara umumnya, AJI-NO-MOTO sendiri tidak mempunyai sebarang rasa tetapi memberikan rasa umami apabila ditambah kepada makanan.

Komen