Lina Rosli Diterbitkan 24 November 2023

Ini Sebab Mengapa Anda Tidak Boleh Berbaring Selepas Makan

Selepas menikmati hidangan bersaiz besar untuk makan tengahari mahupun makan malam, tahukah anda bahawa anda perlu mengelakkan diri daripada berbaring ataupun tidur?

Ini kerana selepas makan sama ada anda berdiri atau duduk tegak, ia sebenarnya membolehkan graviti membantu makanan di dalam perut bergerak ke dalam usus kecil. Dan apabila berbaring, ia sebenarnya akan menyukarkan graviti ini mula melakukan proses pencernaan semula jadi ini.

Sekiranya proses pencernaan tidak sempurna, ia akan berpotensi mengalihkan makanan ke atas esofagus, dan menyebabkan refluks asid dan pedih ulu hati. Selain itu, apabila asid perut meningkat, ia akan menimbulkan rasa kembung, senak, terutamanya bagi mereka yang mengalami masalah perut seperti penyakit gastroesophageal reflux (GERD).

Penyakit refluks gastroesophageal (GERD) adalah gangguan penghadaman yang berlaku apabila asid perut kerap kembali ke esofagus dan merengsakan lapisan esofagus. Menurut kajian yang diterbitkan dalam American Journal of Gastroenterology, penghidap GERD digalakkan untuk berbaring hanya selepas makan selama 3 jam.

Sementara untuk individu lain, pakar mengesyorkan untuk mengelakkan berbaring sepenuhnya selama sekurang-kurangnya dua jam selepas makan untuk memberi ruang kepada semua makanan dicerna di dalam usus kecil. Ini kerana, jika anda tertidur, otot-otot di dalam perut dan usus kecil akan bertindak perlahan dan ini akan membuatkan individu rasa tidak selesa sepanjang proses itu.